Doktor kontrak diminta bersabar, isu berbangkit akan dibawa ke Jemaah Menteri - Dr Adham

Ridauddin Daud
Jun 30, 2021 15:25 MYT
Menurut Dr Adham, kerajaan memandang serius isu dibangkitkan sebelum ini dan akan membawa perkara itu ke pengetahuan Jemaah Menteri. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba meminta semua doktor dalam skim kontrak kerajaan untuk untuk memberikan sedikit masa kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap isu membabitkan kumpulan itu.
Menurut Dr Adham, kerajaan memandang serius isu dibangkitkan sebelum ini dan akan membawa perkara itu ke pengetahuan Jemaah Menteri.
“Saya mohon supaya doktor-doktor sedia ada dalam skim kontrak bersabar dan bertenang. Apa kita buat sebelum ini, kita telah naikkan gaji dan menyelaraskan gred mereka dari UD41 ke UD43.
“Gaji dan gred yang hampir sama dengan pelantikan doktor tetap, tidak ada banyak perbezaan.
“Perkara yang dituntut itu akan kita bawa ke Jemaah Menteri dan akan kita laksanakan dengan keputusan Jemaah Menteri tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan PICK di Putrajaya pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Tambah beliau, setakat 21 Mei 2021, terdapat 35,2165 pegawai lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi.
Baru-baru ini, tanda pagar #HartalDoktorKontrak trending di Twitter sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak di seluruh Malaysia berikutan dakwaan pegawai perubatan kontrak tidak diserap ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.
Begitupun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan agar seruan Hartal (mogok umum) Doktor Kontrak yang dikatakan bagi memperjuangkan isu pegawai perubatan kontrak, tidak diteruskan.
Presidennya Adnan Mat berkata, ia dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara yang berada dalam situasi genting ketika ini.
Justeru, katanya, Cuepacs bersedia menjadi penghubung bagi menyelesaikan masalah dihadapi oleh pegawai perubatan muda berkenaan isu penyerapan dalam perkhidmatan.
Tambahnya, Cuepacs sememangnya berpendirian bahawa lantikan kontrak tidak sepatutnya diamalkan untuk penjawat awam terutama bagi perkhidmatan penting seperti sektor kesihatan.
#Doktor #kontrak #KKM #Twitter #cuepacs #Dr Adham Baba #hartal #mogok #penjawat awam #COVID-19 #Khairy Jamaluddin #PICK #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Menteri Kesihatan
;