Doktor klinik Parlimen hilang, tidak hadir bertugas sejak bulan lalu
Astro Awani
Februari 18, 2016 00:18 MYT
Februari 18, 2016 00:18 MYT
Seorang pegawai perubatan yang bertugas di sebuah klinik di bangunan Parlimen dilaporkan hilang lebih sebulan lalu.
Dr B. Sugumaran, 50 tahun, juga dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Taman Sri Rampai di Setiawangsa di sini sejak 3 Januari, lapor The Star.
Kehilangan Dr Sugumaran disedari selepas ramai cuba mendapatkan khidmatnya dari pertengahan bulan lepas.
Beliau yang merupakan doktor Hospital Kuala Lumpur telah bertugas di klinik bangunan Parlimen sejak 10 tahun lalu.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan bahawa petugas Parlimen kerap kali cuba menghubunginya selepas hampir dua minggu tidak datang bertugas.
"Sugumaran tidak datang bertugas ketika persidangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Parlimen pada 28 Januari lalu, malah pegawai Parlimen memaklumkan beliau hilang beberapa hari tanpa diketahui statusnya.
"Beliau ada menghubungi saya pada akhir Disember lalu untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru," katanya pada Khamis sepertimana dilapor portal BH Online.
Laporan polis turut dibuat keluarganya selepas sebulan gagal dikesan.
Menurut Ronald lagi, beliau ada menghubungi Sugumaran pertengahan bulan lalu untuk mendapatkan nasihat berkaitan kesihatan namun gagal.
"Saya sangkakan beliau bercuti sebelum mendapat tahu berita kehilangannya ketika berada di Kanada.
"Sugumaran seorang yang baik dan tempatnya kini diisi oleh doktor ganti berjadual yang dihantar pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL)," kata Ronald.