Doktor gigi, jurutera rugi ratusan ribu jadi mangsa 'scam'
Bernama
Disember 9, 2024 20:54 MYT
Disember 9, 2024 20:54 MYT
JERTIH: Panik dimaklumkan nombor telefonnya telah digunakan untuk tujuan penipuan menyebabkan seorang doktor gigi wanita kerugian RM269,000 selepas terperdaya dengan sindiket phone scam baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata, mangsa berumur 26 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada 12 Oktober lepas daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai petugas daripada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
“Suspek mendakwa nombor telefon mangsa telah digunakan untuk tujuan penipuan di Kuantan, Pahang dan menyalahi undang-undang sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek kononnya pihak polis yang memaklumkan akaun bank mangsa telah dijadikan keldai akaun dan terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Mangsa telah menafikan, tetapi suspek telah meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dan mengarahkan mangsa memasukkan wang sebagai jaminan menyelesaikan kes itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Md Sani berkata, mangsa yang terperdaya telah memasukkan wang melalui 15 transaksi ke sembilan akaun suspek yang berbeza sebelum mangsa membuat laporan polis pada 5 Disember lepas apabila menyedari telah tertipu.
Beliau berkata mangsa memberitahu wang terbabit ialah hasil pinjamam bank dan simpanannya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang jurutera minyak yang bekerja di Arab Saudi kerugian RM562,424 apabila menjadi mangsa penipuan daripada pihak yang mendakwa sebuah syarikat pelaburan beroperasi di Hong Kong.
“Modus operandi yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa ialah memuat naik iklan menerusi Facebook sebelum menghubungi mangsa dan suspek telah memasukkan mangsa dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa ditunjukkan dengan imbuhan dan tawaran pendapatan serta keuntungan hingga 410 peratus menyebabkan mangsa terpedaya lalu melabur bermula April hingga Oktober tahun ini.
“Mangsa bagaimanapun, telah rasa ditipu selepas tidak menerima bayaran balik keuntungan sebagaimana yang dijanjikan dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya dan menambah mangsa membuat laporan polis pada 28 November lepas.
Md Sani berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis masih mengumpul bukti-bukti keterangan bagi tujuan siasatan.
Polis menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang penggilan telefon dan pesanan mesej yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali melalui mana-mana platform media sosial agar tidak terpedaya, dan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.
-- BERNAMA