Doktor gigi hilang ditemui selamat selepas tersesat 24 jam di Gunung Yong Belar
Muhafandi Muhamad
Julai 10, 2017 08:27 MYT
Julai 10, 2017 08:27 MYT
Menjerit setiap 30 minit dan berharap akan tiba pertolongan.
Demikian pengalaman Dr Muhammad Iqbal Arifin, 29, yang sesat selama lebih 24 jam selepas mendaki Gunung Yong Belar, Lojing di Gua Musang pada Sabtu.
Kehabisan bekalan makanan, dia hanya minum air sungai sepanjang berada di hutan itu, untuk mengalas perutnya, sambil menahan kesejukan.
Tersesat ketika dalam perjalanan turun, doktor gigi itu akhirnya ditemui pada Ahad oleh dua pekerja kebun warga Myanmar yang membantunya keluar dari kawasan hutan itu.
"Setiap 30 minit saya akan menjerit meminta tolong sebanyak tiga kali. Selain itu, saya akan berehat.
"Sehinggalah jam dua setengah petang, saya terjumpa dua pemuda yang sedang membaiki paip dan menegur mereka. Mereka warganegara Myanmar, pekebun di situ.
"Saya beritahu, saya tersesat, dan mereka menolong saya keluar dari hutan. Salah seorang darinya malah membantu saya membawa beg yang berat dan basah, sehinggalah ke tapak kebun sayur," katanya.
Dr Muhammad Iqbal, yang bertugas di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka berkata, dia bersama 30 pendaki lain memulakan pendakian kira-kira pukul 7.30 pagi Sabtu.
Kehilangannya dilaporkan rakannya Aeida Abu Talib, 46, yang menyedari dia tidak ada bersama kumpulan 31 pendaki itu, sejam selepas mereka berhenti rehat dan menuruni gunung berkenaan.
Laporan polis mengenai kehilangannya dibuat pada 4.22 pagi.
Ketika ditemui di Pondok Polis Lojing, Dr Muhammad Iqbal berkata, pekerja kebun warga Myanmar itu menghantarnya keluar sehingga ke Masjid Lojing.
"Saya kemudiannya menghubungi ayah memaklumkan telah selamat dan kemudiannya menelefon polis untuk memaklumkan kedudukan saya," jelasnya.
Katanya, beliau hanya menyedari terpisah daripada kumpulannya kira-kira pukul 6 petang sebelum memutuskan untuk mencari sungai terdekat untuk berehat.
"Sekitar 7.30 malam, saya menemui sebatang sungai dan minum air sungai tersebut kerana kehabisan bekalan makanan.
"Ketika berseorangan di dalam hutan saya melakukan solat hajat dan berzikir bagi memudahkan urusan mencari kembali rakan kumpulan," katanya.
Menurut bapanya, Arifin Md Salleh, peristiwa sesat di hutan itu menjadi pengalaman berguna kepada anaknya dan ahli keluarganya yang lain kerana mereka sememangnya berminat dengan aktiviti mendaki gunung.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang berkata Dr Muhammad Iqbal telah diberi rawatan awal semasa menunggu ketibaan keluarganya dari Melaka ketika di Pondok Polis Lojing.
Katanya, dengan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada 12 tengah hari Ahad, melibatkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Bomba dan Penyelamat Gua Musang, dihentikan.
#Doktor gigi
#Dr Muhammad Iqbal Arifin
#Gua Musang
#Gunung Yong Belar
#Lojing
#mangsa
#mendaki gunung
#pekerja kebun
#polis
#sesat
#warga myanmar