Doktor ditahan, disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit wanita
Bernama
Februari 27, 2025 12:40 MYT
Februari 27, 2025 12:40 MYT
Penjawat awam berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam tadi selepas menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kes berkenaan. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang pegawai perubatan sebuah hospital di sini selepas disyaki berkelakuan tidak senonoh di tempat kerjanya, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata penjawat awam berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam tadi selepas menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kes berkenaan.
"Lelaki itu ditahan di hospital berkenaan dan kini direman empat hari hingga 2 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, doktor itu telah memperdaya dan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang pesakit wanita berusia awal 20-an ketika mangsa menerima rawatan.
-- BERNAMA