Doktor ditahan dipercayai terbabit kes cabul remaja perempuan

Aida Aziz
Jun 6, 2024 22:10 MYT
Suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan mangsa dalam keadaan stabil. - Gambar hiasan
PARIT: Seorang lelaki bergelar doktor ditahan setelah dipercayai terbabit dalam kes cabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt. Hafezul Helmi Hamzah, mangsa membuat laporan pada Selasa di Balai Polis Bota, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, sekitar jam 9.14 malam.
"Mangsa mengatakan telah diganggu secara seksual oleh seorang lelaki dipercayai doktor semasa mendapatkan rawatan di wad kecemasan, di sebuah hospital.
"Susulan daripada laporan polis tersebut, pada Rabu sekitar jam 2 petang, sepasukan pegawai polis dari IPD Perak Tengah telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki bergelar doktor.
"Suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan mangsa dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Hafezul Helmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Justeru, katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Insp. Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294.
#Doktor #cabul #remaja #reman