Doktor buat laporan polis isu tuduhan gangguan seksual

Aida Aziz
Mac 16, 2024 00:14 MYT
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, pihaknya menerima laporan tersebut dari pengadu warga tempatan berusia 43 tahun itu pada Sabtu. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Seorang lelaki yang bertugas sebagai doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini tampil membuat laporan polis berhubung penularan surat layang di laman sosial yang memburukkan namanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, pihaknya menerima laporan tersebut dari pengadu warga tempatan berusia 43 tahun itu pada Sabtu.
"Siasatan awal pihak polis mendapati surat layang yang tersebar menuduh pengadu dan beberapa staf lain melakukan perbuatan terkutuk terhadap staf, khususnya houseman yang bekerja di Jabatan Ortopedik HRPB.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah)/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian)," katanya malam tadi.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin atau fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti seseorang.
Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan telah menerima sepucuk surat layang yang turut disebarkan kepada masyarakat awam baru-baru ini, yang mengandungi dakwaan tentang sekumpulan doktor yang melakukan gangguan seksual di tempat kerja.
BACA: JKN Perak mulakan siasatan berhubung dakwaan doktor lakukan gangguan seksual di HRPB
BACA: Doktor pelatih dakwa terima gangguan seksual diminta buat laporan polis
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pengarahnya Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, surat tersebut diterima pihak JKN Perak melalui pos pada 28 Februari lepas.
Laporan itu turut memetik, menerusi surat layang tersebut, penulisnya mendakwa mereka adalah staf kesihatan di HRPB, Ipoh, dan sedang menjalani latihan di sebuah jabatan di hospital tersebut.
Mereka berkata, doktor tersebut didakwa menggunakan ugutan untuk memanjangkan tempoh latihan mereka, dan sering menggunakan kesempatan yang ada untuk mengganggu staf perempuan secara seksual.
#Doktor #gangguan seksual #laporan polis #Hospital Raja Permaisuri Bainun #HRPB
;