Doktor bebas tuduhan sebabkan kematian menantu bekas TPM
Bernama
Ogos 10, 2018 17:20 MYT
Ogos 10, 2018 17:20 MYT
Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang doktor perbidanan dan sakit puan (OG) atas pertuduhan menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, semasa mendapatkan rawatan gigi, tiga tahun lepas.
Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu terhadap Dr Ting Teck Chin, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
“Terdapat percanggahan keterangan antara pakar bius dan pakar autopsi dari segi punca kematian si mati. Pakar bius mengatakan wujud serangan jantung berikutan penggunaan lebihan bius manakala pakar autopsi berpendapat kematian disebabkan oleh alahan dengan ubat bius.
“Bagaimanapun keterangan pakar bius mengatakan ada kemungkinan si mati meninggal dunia akibat alahan ubat bius walaupun ia sangat jarang berlaku, namun kemungkinan itu tetap ada. Oleh demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” kata hakim itu.
Dalam pada itu, beliau berkata mangsa, yang juga menantu bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah diberikan ubat tahan sakit iaitu ponstan serta dua jenis ubat oleh jururawat bertugas dan Dr Arlena Philips Lee yang juga doktor gigi, memberikan tidak kurang daripada tiga ubat melalui suntikan.
“Prosedur mencabut gigi tidak dihentikan walaupun keadaan pesakit menunjukkan kesakitan dan tanda-tanda komplikasi,” katanya.
Pada 12 Ogos 2016, Dr Ting yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.
Dr Ting, yang bertugas di Jabatan OG di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, 41, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Dr Ting diwakili peguam peguam Datuk K. Kumaraendran, K. Dev dan Teh See Khoon.
Ketika ditanya adakah pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan mengenai keputusan mahkamah hari ini, Shukor berkata pihaknya akan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada ingin merayu atau tidak.
Sementara itu, Dr Ting yang ditemui di luar mahkamah menzahirkan perasaan lega dan bersyukur dengan keputusan mahkamah serta berharap dapat meneruskan kariernya sebagai doktor OG di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sebanyak 25 saksi pendakwaan dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan yang bermula pada awal tahun lepas.
-- BERNAMA
#Doktor gigi
#Hospital
#mati
#menantu Zahid
#meninggal dunia
#perubatan
#Syed Alman Zain Syed Alwi
#Zahid Hamidi