DoJ perlu selesaikan dokumen ekstradisi Roger Ng dalam 60 hari

Bernama
November 14, 2018 13:42 MYT
AMAR SINGH: Tempoh (60 hari) diberi mahkamah untuk AS mewajarkan) proses ekstradisi. - BERNAMA
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) perlu menyelesaikan segala urusan berkaitan proses ekstradisi bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng dalam tempoh 60 hari perintah reman yang dikenakan terhadapnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata perintah reman 60 hari ke atas Ng atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa itu berkuat kuasa 2 November lalu selepas ditahan pada 1 November, susulan waran tangkap yang dipohon kerajaan Amerika Syarikat (AS).
"... tempoh berkenaan (60 hari) diberi mahkamah untuk AS (Amerika Syarikat) justify (untuk mewajarkan) proses ekstradisi itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Sri Hartamas, di sini hari ini
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa AS memohon waran tangkap ke atas Ng selepas lelaki itu didakwa tanpa kehadiran di mahkamah negara berkenaan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain Ng, DoJ juga sedang memburu ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan kes sama.
Pertuduhan berkenaan menyebut Jho Low dan Ng bersubahat mengubah berbilion dolar wang yang diseleweng daripada 1MDB dan berkonspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan membayar rasuah kepada pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai serangan penggodam ke atas sistem komputer milik Media Prima Berhad, beliau berkata polis sedang menyiasat perkara berkenaan.
Semalam media melaporkan, dalam serangan itu penggodam yang menggunakan perisian virus ransomware menuntut bayaran sebanyak 1,000 bitcoin bersamaan RM26.4 juta sebagai wang tebusan.
Mengulas mengenai perasmian balai polis berkenaan, Amar Singh berkata beliau terharu diberi peluang menyempurnakan upacara berkenaan.
"Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran balai polis...saya juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur tentunya saya amat terharu untuk kembali dan merasmikan balai polis," katanya.
#1MDB #Amar Singh #DoJ #Jho Low #Roger Ng
;