DoJ dinasihat ambil tindakan, bukan hanya beri kenyataan

Rahimah Abdullah
Jun 18, 2017 13:30 MYT
Hishammuddin menyampaikan taklimat pada Majlis Taklimat Buku Panduan Pilihan Raya Umum ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. --fotoBERNAMA
Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menasihatkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) agar mengambil tindakan dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan berhubung individu yang dipertikaikan badan perundangan itu.
Tegas Menteri Pertahanan itu, tindakan itu bagi memberi keadilan kepada pihak yang didakwa bagi membersihkan nama masing-masing.
"Saya nak nasihatkan kepada DoJ, kalau mereka mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah. Jangan membuat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.
"Apabila mereka dakwa, orang yang didakwa itu ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing.
"Namun, hanya melalui kenyataan-kenyataan, tetapi akhirnya kalau tidak mengambil tindakan, kredibiliti DoJ itu sendiri boleh dipertikaikan," katanya pada satu sidang media hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan tertutup dengan Setiausaha UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Pada Khamis, DoJ menuntut untuk merampas aset bernilai AS$540 (kira-kira RM2.3 bilion) yang didakwa milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, firma pelaburan negara itu dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya tidak pernah dihubungi DoJ berhubung tuntutan mahkamah terbaharu itu.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO melihat kenyataan terbaharu dikeluarkan DoJ itu bukan perkara baharu.
"Sebelum ini pun dia keluarkan kenyataan. Saya hendak katakan kepada DoJ, kalau betul-betul mereka mempunyai bukti yang kukuh, dakwa dan ambil tindakan.
"Inilah keadilan. Supaya mereka yang didakwa itu boleh membersihkan nama masing-masing," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu yang dibangkitkan DoJ itu.
"Ada mereka yang menangguk di air keruh. Persepsi yang diwujudkan oleh DoJ tadi membenarkan pihak tertentu menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan. Apa pertimbangan mereka, dia sahaja yang tahu.
"Kadang-kadang pertimbangan politik, kadang-kadang sebab kemarahan, sebab tamak, tetapi saya tidak tahu," ujarnya.
Tambahnya, jika DoJ terus bertindak mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang tindakan, beliau yakin akhirnya jabatan itu boleh dipertikaikan.
#1Malaysia Development Berhad #Amerika Syarikat #bukti #dakwa #DoJ #Hishammuddin Hussein #Jabatan Kehakiman #UMNO
;