Dodol gula apong satukan citarasa Sarawak dan Melaka

Astro Awani
Mei 7, 2020 12:38 MYT
Citarasa Melaka dan Sarawak bergabung dalam dodol gula apong yang semakin popular di Sarawak - Foto Astro AWANI
Jika Melaka cukup dikenali dengan dodol, gula apong begitu sinonim dengan Sarawak. Gabungan kedua-duanya menghasilkan produk baru iaitu dodol gula apong.
Idea itu dicetuskan sekitar 10 tahun lalu oleh Azmi Ahmad Shukri dari Melaka yang berkahwin dengan wanita Bumi Kenyalang, Fatemah Omar.
Bercerita lanjut Azmi berkata resepi dodol diwarisi turun-temurun daripada ibunya.
Jika mengikut resepi asal ia menggunakan gula melaka sebagai bahan utamanya tetapi bagi menyesuaikan dengan citarasa tempatan ia digantikan dengan gula apong.
“Apabila dipadankan dengan gula apong rasa dia lebih sedap. Apong (nipah) tumbuh di paya air masin jadi rasanya macam lemak sikit dan lebih sedap,” jelas Azmi.
Sementara itu Fatemah berkongsi pengalamannya mengusahakan dodol gula apong di bawah jenama Azfa Success Enterprise.
“Saya mula mengusahakan dodol ini pada 2010 dan permintaannya memang hangat terutamanya pada bulan puasa untuk hidangan raya.
“Kami juga menyertai beberapa expo dan sambutannya amat menggalakan terutamanya daripada orang luar”, ujarnya.
Perniagaan suami isteri ini turut dibantu anak-anak mereka yang terlibat dalam proses pembungkusan, pemasaran dalam talian.
Malah mereka turut menghantar sendiri produk jualan kepada pelanggan terdekat terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Penghasilan dodol gula apong ini memakan masa sehingga 3 ke 4 jam sebelum dipek dan sedia untuk dijual. Ia boleh didapati dalam tiga variasi, iaitu dalam bekas, kiub dan gulung.
#dodol #gula apong #makanan tradisi #Melaka #PKP #puasa #Sarawak
;