Doctor2U lancar perkhidmatan ambulans atas permintaan

Bernama
Julai 20, 2017 21:40 MYT
Perkhidmatan ini disediakan hasil kerjasama Doctor2U dengan Falck First Ambulance, yang memperuntukan 20 ambulans bagi tujuan tersebut. - Gambar fail
PLATFORM dalam talian tempatan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan atas permintaan, Doctor2U, menawarkan kemudahan yang membolehkan pengguna memohon perkhidmatan ambulans.
Kemudahan melalui aplikasi ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Perkhidmatan ini disediakan hasil kerjasama Doctor2U dengan Falck First Ambulance, yang memperuntukan 20 ambulans bagi tujuan tersebut.
"Sebagai permulaan, kemudahan ambulans ini disediakan untuk mereka di Lembah Klang dan Kota Kinabalu, sebelum DoctoCurfr2U dan Falck memperkenalkannya pula di Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru," kata Doctor2U dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, oleh kerana sukar untuk meramalkan tentang keadaan jalan raya di Malaysia disebabkan keadaan trafik dan cuaca, maka ciri itu tidak dapat memberi jaminan dari segi masa.
Bagaimanapun, Doctor2U menganggarkan jangka masa respons adalah dua kali lebih pantas daripada panggilan yang dibuat kepada talian 999.
"Aplikasi ini akan secara automatik mengarahkan ambulans Falck terdekat melalui Waze untuk pergi ke lokasi pengguna dan kemudian ke lokasi hospital seperti yang diminta," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, ketika ini, ciri itu akan memberi fokus kepada permintaan yang dikemukakan, dan Doctor2U merancang untuk menambah ciri kemudahan membuat tempahan pada masa akan datang.
-- BERNAMA
#Ambulans #aplikasi #atas talian #Doctor2U #falck first #kesihatan #perubatan #rawatan
;