Mendapatkan khidmat doktor kini lebih mudah kerana orang ramai tidak perlu lagi ke klinik jika tidak berkesempatan, sebaliknya rawatan boleh dilakukan di rumah atau di mana-mana sahaja.

Menerusi aplikasi terbaharu, dikenali sebagai Doctor2U, seorang doktor akan datang untuk memberikan rawatan dalam tempoh 60 minit di mana-mana lokasi pilihan pengguna.

Pertama seumpamanya di Malaysia juga di Asia Tenggara, Doctor2U sudah mula beroperasi 15 Oktober lalu dan dimuat turun oleh lebih 3,500 pengguna.

Daripada jumlah itu, 1,500 pengguna sudah mendaftar dengan aplikasi tersebut.


Aplikasi ini memerlukan pesakit membuat permintaan dengan mengemukakan maklumat mengenai khidmat perubatan yang diperlukan atau tanda-tanda penyakit.

Seterusnya, aplikasi itu akan mendapatkan doktor dalam radius 20km daripada pemanggil.

Doktor yang memilih untuk bertindak balas terhadap permintaan tersebut akan dibekalkan dengan lokasi serta maklumat mengenai pesakit.

Sehingga kini, Doctor2U mempunyai 46 doktor panel.

Perkhidmatan perubatan 24 jam sehari itu mengenakan bayaran RM250 bagi rawatan di antara jam 8 pagi hingga 8 malam, manakala bayaran RM420 dikenakan bagi rawatan di antara jam 8 malam hingga 8 pagi.


Pertama di Malaysia, Doctor2U sudah mula beroperasi 15 Oktober lalu dan dimuat turun oleh 3500 pengguna.


Ketika ini, perkhidmatan Doctor2U terhad di Kuala Lumpur, dengan perancangan untuk diperluaskan di bandar-bandar utama di seluruh negara secara berperingkat.

Pengasas aplikasi ini merupakan seorang anak muda yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kedoktoran.

Baru berusia 21 tahun, graduan teknologi maklumat Garvy Beh mendapat idea untuk mencipta aplikasi Doctor2U setelah melihat kejayaan aplikasi berkenaan di beberapa negara seperti Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Kata Garvy, semenjak dilancarkan, sebanyak 25 transaksi telah dilakukan oleh pelanggan.

Kebanyakan pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya ini adalah terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil serta warga emas.

Garvy dan pasukannya dari BP Health Care mencipta aplikasi ini Jun lalu dan mula menemui beberapa doktor bagi mengenengahkan idea tersebut.

Garvy berharap aplikasi Doctor2U akan mendapat permintaan tinggi seiring dengan revolusi dalam perkhidmatan dalam talian.