Doctor Run 2019 sasar 5,000 peserta
Astro Awani
Januari 24, 2019 07:37 MYT
Januari 24, 2019 07:37 MYT
Program kesihatan berunsurkan larian, Doctor Run 2019, yang akan diadakan Mac ini merupakan platform kesedaran kesihatan untuk masyarakat yang berorientasikan keilmuan.
Penyelaras program, Ilzamy Nabhani berkata, ia sekali gus usaha membantu Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) mengumpul dana bagi membiayai kos-kos operasi serta aktiviti yang berlandaskan keilmuan dan penjagaan kesihatan.
"Program pada 24 Mac ini akan bermula seawal jam 6 pagi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.
"Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.
"Program ini turut menyasarkan 5,000 peserta dari pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan selain seluruh lapisan masyarakat di sekitar Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Program itu bertemakan 'Health Is Precious, Together We Care'.
Perdim merupakan pertubuhan kedoktoran yang aktif dalam menjalankan program-program berorientasikan kesihatan bagi kepentingan masyarakat .
Menariknya, kata Ilzamy, Doctor Run 2019 adalah acara larian kompetitif pertama berunsurkan kebajikan melibatkan doktor, pengamal penjagaan kesihatan, pelajar perubatan, golongan profesional dari industri penjagaan kesihatan dan masyarakat.
"Dana yang dikumpulkan daripada acara ini akan digunakan bagi pelbagai perbelanjaan pengoperasian pertubuhan termasuk program pendidikan kesihatan.
"Ia termasuk kajian selain usaha menambah baik sistem kesihatan klinik dari sudut profesional selain memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat .
"Acara ini diharap akan menjadi program tahunan dan dapat memupuk kesedaran terhadap pentingnya aktiviti fizikal bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan," ujarnya.
Kata Ilzamy, kesihatan adalah penting dan aktiviti bersenam seperti berjalan dan berlari merupakan aktiviti atau pergerakan yang paling mudah dilakukan.
"Ia boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.
"Aktiviti itu jika dilakukan secara konsisten dapat mengaktifkan otot-otot dan melancarkan lagi peredaran darah ke seluruh organ badan sekali gus menjadikan tubuh badan lebih sihat dan cergas," jelasnya.
Orang ramai juga boleh melayari http://checkpointspot.asia/DoctorRun dan juga Facebook Doctor Run di https://www.facebook.com/doctorrun2019/ untuk maklumat lanjut mengenai acara larian ini.