Dobi Muslim: Tindak-tanduk rakyat, pemimpin perlu seiring saranan Majlis Raja-Raja

Astro Awani
Oktober 13, 2017 11:26 MYT
Majlis Raja-Raja Melayu dalam kenyataan media pada Rabu menghargai pendirian tegas yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung kes 'dobi untuk Muslim saja' di negeri Johor. - Gambar hiasan
Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu mengenai tindak-tanduk individu yang dibimbangi menjejaskan keharmonian kaum dilihat bertepatan dengan realiti ancaman yang dihadapi masa kini.
Pengerusi Yayasan Rapera, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos berpendapat pendirian Majlis Raja-Raja membawa semula perhatian rakyat dan pemimpin politik terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.
"Malangnya, Rukun Negara telah dilupai oleh kebanyakan rakyat Malaysia termasuklah pemimpin politik," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
BACA: Tindakan pengusaha dobi mohon maaf patut diterima baik - PM Najib
Menurut Jahaberdeen, tindakan-tindakan oleh individu-individu tertentu yang bersifat keterlaluan tidak mencerminkan citra Islam sebenar - yang tidak mencengkam dan menyusahkan.
"Majlis Raja-Raja sangat signifikan dalam melentur perkembangan fahaman Islam di Malaysia supaya tafsiran dan fahaman yang negatif seperti yang berlaku di negara tertentu yang tidak menjadi fahaman Muslim Malaysia.
"Kita berpegang kepada prinsip wasatiyah dan bukan pada ekstremis agama," ujar peguam itu lagi.
Majlis Raja-Raja Melayu dalam kenyataan media pada Rabu menghargai pendirian tegas yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung kes 'dobi untuk Muslim saja' di negeri Johor.
#dobi #Jahaberdeen Mohamed Yunos #Majlis Raja-Raja Melayu #Muslim #Rukun Negara #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Yayasan Rapera
;