'Doakan urusan kami dipermudahkan' - Keluarga Nur Farah Kartini

Sinar Harian
Julai 18, 2024 10:50 MYT
Keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah berharap urusan tuntutan jenazah berjalan lancar dan disegerakan. - Foto BERNAMA
SUNGAI BULOH: Keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah berharap urusan tuntutan jenazah berjalan lancar dan disegerakan.
Abang arwah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang perkembangan berkaitan tuntutan jenazah.
"Belum ada sebarang perkembangan, doakan urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, pengamal media dilihat berkumpul di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh sekitar jam 8 pagi bagi mendapatkan perkembangan lanjut berkaitan tuntutan jenazah Nur Farah Kartini.
Sebelum ini, difahamkan urusan berkenaan dijangka dilakukan selepas pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ibu mangsa di Hospital Kuala Kubu Bharu.
Media pada Selasa melaporkan proses bedah siasat ke atas mayat Nur Farah Kartini yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selesai pada jam 6.10 petang.
Pada Isnin, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian
#Nur Farah Kartini Abdullah #tuntutan jenazah #Mohd Farriza Amir Abdullah #Hospital Sungai Buloh
;