Doakan negara pulih daripada COVID-19, ekonomi kembali rancak pada 2021 - Pemimpin
Bernama
Disember 31, 2020 22:59 MYT
Disember 31, 2020 22:59 MYT
KUALA LUMPUR: Memasuki tahun baharu 2021, rata-rata pemimpin menzahirkan harapan agar negara pulih daripada penularan pandemik COVID-19 agar ekonomi Malaysia kembali rancak demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, menerusi akaun Facebook, berkata sektor pembinaan merupakan antara penyumbang utama ke arah memacu kembali ekonomi yang terkesan akibat pandemik itu dan mendoakan agar tahun 2021 memberi sinar baharu kepada negara.
"Alhamdulillah di sebalik cabaran COVID-19 pada tahun ini, cara Malaysia dan kesungguhan pucuk kepimpinan negara dalam menguruskan pandemik ini, yang disokong kerjasama dan disiplin rakyat, mendapat pujian negara luar.
"Sudah tentunya setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat hero kita semua iaitu pasukan barisan hadapan yang berkorban siang malam dalam memerangi COVID-19," katanya.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula memberikan penghargaan tinggi atas pengorbanan petugas barisan hadapan yang mengerah keringat demi menjaga keselamatan rakyat daripada dijangkiti virus berbahaya COVID-19 dan sebilangan besar rakyat yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha mengekang pandemik itu.
"Saya berharap tahun 2021 ada sinar, harapan dan semangat baharu. Semoga kemenangan menjadi milik kita. Selamat menyambut Tahun Baharu 2021," katanya.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam hantaran Twitter, menyifatkan 2020 sebagai tahun yang penuh dengan cabaran tidak diduga dan berharap semangat waja rakyat dapat dibawa ke tahun 2021.
"Penularan pandemik COVID-19 telah menuntut perubahan besar dalam kehidupan kita malah mendesak kita untuk mengubah landskap ekonomi dan sosial bagi memastikan kita berjaya," katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berharap semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan rakyat dalam memastikan apa jua ujian, termasuk COVID-19, tidak menghalang langkah membina masa depan anak-anak, keluarga dan negara.
"Insya-Allah berkat kecekalan, usaha dan doa kita semua, semoga tahun 2021 menjadi tahun yang lebih baik, mudah-mudahan," katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengajak rakyat membudayakan amalan baharu dalam memelihara persekitaran demi kemakmuran bersama.
"Kita harus tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia dan rakyatnya mempunyai sikap dan minda kelas pertama yang cintakan kebersihan. Usaha ini bertepatan dengan Dasar Kebersihan Negara untuk mewujudkan sebuah negara bersih, mampan dan sejahtera melalui pembudayaan amalan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan masyarakat," menurutnya dalam satu kenyataan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan dalam hantaran Twitternya mendoakan agar negara terus aman, sejahtera serta harmoni dengan cara dan acuan sendiri selain berharap semua pihak bekerja keras demi negara yang lebik baik dan makmur.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pula mengingatkan rakyat agar mengambil tanggungjawab bersama dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang masih tidak nampak penghujungnya.
"Tahun 2020 memang sangat mencabar buat kita semua. Pandemik COVID-19 telah mengubah banyak perkara dalam kehidupan dan terpaksa kita harunginya dengan amalan norma baharu.
"Sama-Sama kita ingat-mengingatkan, sama-sama kita jaga kita. Memutuskan rantaian COVID-19 memerlukan usaha kita bersama. Kita lawan sampai menang!" katanya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata resolusi rakyat bagi tahun 2021 ialah berjuang untuk menghapuskan rasuah kerana ia membebankan rakyat akibat kos yang akan meningkat.
"Selamat sambut 2021, insya-Allah doa kita akan dimakbulkan," katanya.
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata 2020 adalah tahun yang amat getir buat rakyat di seluruh negara.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyifatkan ujian dan cabaran sepanjang tahun 2020 terus mengukuhkan lagi perpaduan antara rakyat.
"Jadikanlah segala ujian dan cabaran yang kita hadapi sebagai pengajaran yang berguna dalam mencorakkan masa depan negara yang lebih cerah," katanya.
-- BERNAMA
#harapan
#tahun baharu
#2021
#pemimpin
#pandemik
#COVID-19
#ekonomi
#rancak
#pemulihan
#menteri
#Timbalan Menteri
#pembangkang
#kerajaan