'Doakan ibu saya yang sedang kritikal' - Anak Julie Sudiro
Faris Danial Razi
Januari 9, 2023 21:50 MYT
Januari 9, 2023 21:50 MYT
KUALA LUMPUR: Seniwati terkenal, Datin Paduka Julie Sudiro, penyanyi jazz yang disegani di seluruh pelusuk negara dan Singapura dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, ketika ini.
Julie atau nama sebenarnya, Raden Juariah Raden Sudiro, 80, telah ditidurkan sejak petang Isnin.
Anak lelaki beliau, Rindra Soliano yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI berkata, ibunya kini ditempatkan di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam di Shah Alam, Selangor dan keadaannya sangat lemah.
“Ibu sangat lemah dan bacaan oksigennya rendah, terdapat darah beku dalam jantung dan doktor meminta supaya dia ditidurkan,” jelasnya.
Rindra turut memohon rakyat Malaysia mendoakan kestabilan ibunya yang kini ditempatkan di zon merah.
Julie bukan satu nama asing dalam persada seni tanah air.
Beliau sinonim dengan lagu popular berjudul, 'Burong Nuri' yang dirakamkan bersama Allahyarham Ahmad Mahmud dan penyanyi keroncong, Kartina Dahari.
Julie dilahirkan pada 26 Februari 1945 di Segamat, Johor Bahru dan dibesarkan di Singapura.
Beliau dikurniakan dua anak lelaki iaitu Rindra dan Jose Irmanto, hasil perkahwinan bersama arwah suaminya, Tony Soliano yang merupakan pemuzik jazz yang handal.
Pada 2006, beliau mendapat gelaran Datin Paduka daripada Sultan Johor yang memerintah pada ketika itu iaitu Almarhum Sultan Mahmud Iskandar Al-Haj.