Doa selama sembilan bulan termakbul, ibu bersyukur mayat anak dijumpai
Muhammad Aiman Hakeem
Julai 23, 2022 00:03 MYT
Julai 23, 2022 00:03 MYT
JOHOR BAHRU: Penantian selama sembilan bulan buat seorang ibu di Johor berakhir apabila mayat anaknya yang hilang sejak Oktober lalu, ditemukan semula tengah hari Sabtu.
Asmawati Ab Kadir ketika dihubungi memaklumkan, dia tetap bersyukur apabila hasrat untuk bertemu dengan putranya dalam apa keadaan sekalipun, termakbul.
"Saya bersyukur sangat, akhirnya Allah SWT makbulkan doa saya selama sembilan bulan untuk bertemu anak saya dalam keadaan apa cara pun dirinya," jelas Asmawati, ibu kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24 yang hilang sejak 29 Oktober tahun lalu.
Anaknya itu dipercayai hilang ketika dalam perjalanan pulang dari rumahnya di Taman Air Biru ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.
Katanya kini sudah bertolak ke Hospital Pekan, Pahang setelah menerima panggilan pihak polis berhubung penemuan kenderaan milik anaknya, Grand Livina bernombor pendaftaran WWF 3187 pada tengahari tadi.
"Pada mulanya ada seorang awam menghubungi saya sebab ingat berita viral di Facebook berhubung kehilangan anak sulung saya. Dia maklumkan nampak kereta arwah dalam sungai di sana. Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan dari pihak polis memaklumkan perkara sama, lebih kurang jam 1 petang.
"Saya yakin memang itu adalah anak saya, kerana jenis kereta dan nombor pendaftaran kenderaan sama dengan kereta anak saya.
"Kebetulan salah seorang anggota bomba itu kawan anak, memaklumkan maklumat peribadi termasuk bag kerja, baju kerja dan kad kerja atas nama anak saya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Azmawati, keluarganya lega dan bersyukur selepas penantian selama sembilan bulan itu berakhir dan reda dengan kejadian yang menimpa.
"Saya berdoa setiap malam, supaya Allah SWT temukan kami dalam apa jua bentuk keadaan anak. Sebagai orang Islam saya tahu, anak saya milik Allah SWT.
"Walau apa bentuk sekalipun tidak mengapa, Alhamdulillah, Allah SWT makbulkan doa saya," katanya yang memaklumkan anaknya sudah lebih sebulan bekerja di Terengganu ditemui selepas kenderaannya kelihatan apabila Sungai Api-api di Nenasi, Pekan, Pahang sedikit surut.
Bercerita lanjut, Azmawati berkata tepi sungai terbabit sememangnya jalan yang di lalui anaknya setiap kali untuk pulang ke tempat kerja di Terengganu.
Katanya sejak malam 29 Oktober tahun lalu, anaknya hilang dan tidak dapat dihubungi, dia sekeluarga mencari dan melalui jalan tersebut.
"Dalam tempoh sebulan selepas kehilangan anak saya, saya sekeluarga ada mencarinya di laluan ini beberapa kali tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.
"Banyak kali lalu jalan ini, kerana ini adalah jalan anak untuk pulang ke tempat kerja,"katanya yang mempunyai dua anak.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai mengesan abangnya selepas gagal dikesan.
Muhammad Iman Aqmar bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya.
#mayat anak
#ditemui
#hilang
#Sungai Api-Api
#Johor Bahru
#Asmawati Ab Kadir
#Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain