Doa permudahkan usaha pemulihan kesan COVID-19, bencana alam - Sultan Johor

Bernama
Disember 31, 2021 04:00 MYT
Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang terus berjuang dalam membantu negara memerangi COVID-19. - Bernama
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menyeru rakyat supaya berdoa agar dipermudahkan segala urusan dalam usaha pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19 dan bencana alam yang melanda negara penghujung tahun ini.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang terus berjuang dalam membantu negara memerangi COVID-19 serta bencana alam yang menimpa.
"Suka juga saya mengingatkan rakyat jelata agar menjaga diri dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan masing-masing," titah baginda dalam perutusan sempena tahun baharu 2022 yang dimuat naik di laman Facebook rasmi baginda pada Jumaat.
Baginda menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan izin-Nya kerana dapat menyambut kedatangan tahun baharu 2022.
"Marilah kita bersama-sama berdoa memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT dalam mengurniakan keselamatan dan keafiatan yang berpanjangan," titah baginda.
Sultan Ibrahim pada masa sama menekankan tentang kepentingan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang merupakan tunjang kesejahteraan negara.
"Budaya hormat-menghormati antara satu sama lain perlu terus menjadi teras untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama," titah baginda.
Sultan Johor menjelaskan perpaduan yang terjalin juga akan membawa kestabilan, memberi keyakinan kepada pelabur, sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi negara.
"Janganlah terpengaruh dengan cubaan segelintir pihak yang ingin memecah-belahkan rakyat kita dengan naratif yang sempit.
"Muhasabahlah diri, kembali kepada niat asal untuk berkhidmat membawa kemajuan dan kemakmuran kepada tanah air kita, bukan untuk kepentingan diri sendiri," titah baginda.
Baginda turut bertitah permuafakatan yang sihat akan memulihkan negara dan mengembalikannya ke landasan yang tepat untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran sebenar.
"Sesungguhnya, muafakat itu berkat, maka bermuafakatlah semua demi kebaikan sejagat," titah baginda.
-- BERNAMA
#Sultan Johor #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #COVID-19 #bencana alam
;