DJ radio tempatan ditahan miliki pistol dan peluru hidup

Nazialita Geynna Maharan
April 26, 2018 22:30 MYT
Siasatan lanjut ke atas DJ yang menetap di Wira Jaya itu turut menjumpai satu beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dan di dalamnya. - Gambar hasil
Seorang DJ radio tempatan ditahan bagi membantu siasatan pemilikan sepucuk pistol yang ditemui di tempat duduk penumpang hadapan dalam kenderaannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata DJ berusia 47 tahun itu ditahan sekitar 8.30 pagi dalam sebuah Ops Khas lalu lintas di Kilometer 28, Kampung Bahagia, dekat sini.
Menurut beliau,polis telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Wish berwarna kuning yang menggunakan lampu jenis “beacon light” milik DJ tersebut dalam Ops itu.
“Pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan itu mendapati beliau mempunyai sepucuk pistol semi-auto jenama Walther bersama satu kelopak tujuh butir peluru hidup.
“Siasatan lanjut ke atas DJ yang menetap di Wira Jaya itu turut menjumpai satu beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dan di dalamnya, dijumpai satu kelopak lagi peluru berisi tujuh peluru hidup, dan lagi 18 butir peluru hidup.
“Jumlah peluru dirampas adalah sebanyak 32 biji jenis 9mm,” katanya dalam sebuah kenyataan media di sini,hari ini.
Yahya berkata siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti. Lebih Berat) 1971 kerana memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 atas kesalahan memiliki peluru.
“Siasatan masih dijalankan untuk ketahui motif suspek untuk memperolehinya,”ujarnya lagi.
#deejay #dj #jenayah #penyampai radio #polis #senjata api #siasatan #suspek #Yahya Abd Rahman
;