Diusik memori basikal arwah bapa, 25 tahun Azizan kumpul koleksi 'legend'

Astro Awani
September 6, 2020 09:00 MYT
Azizan mengumpul basikal klasik era 1950-an dan 60-an kebanyakannya berjenama Hercules dan Raleigh buatan England. -Astro AWANI
NOSTALGIA menunggang basikal tua ketika ke sekolah pada zaman remaja menyebabkan seorang warga emas mengambil keputusan menyimpan koleksi basikal 'legend' berkenaan.
Azizan Darus, 62 tahun, dari Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang mulanya hanya memiliki sebuah basikal klasik tinggalan arwah bapanya sebelum timbul minat untuk menjadikan kenderaan itu sebagai koleksi.
Selama 25 tahun dia mengumpul basikal klasik yang dikeluarkan sekitar 1950-an dan 60-an kebanyakannya berjenama Hercules dan Raleigh buatan England.
Bagi memastikan basikal klasik dalam keadaan baik, Azizan sentiasa membuat penyelenggaraan walaupun sukar mendapatkan alat ganti berikutan basikal model itu tidak lagi dijual ketika ini.
"Saya berminat dengan basikal ini (bermula) hanya ingin memiliki satu sahaja. Selepas tu saya tengok kawan-kawan yang lain pun ada kawan-kawan dari pulau, kami pun tubuhkan satu kelab Kelab Pemilik Basikal Klasik Pulau Pinang.
"Selepas itu kita terus menyimpan. Saya pun buat koleksi-koleksi yang mana yang kita rasa berkenan, yang kita suka, dan kita minat untuk buat koleksi," katanya.
Berikutan sukar diperolehi, ada peminat barang antik 'memujuk' Azizan agar menjual basikal klasik dalam simpanannya.
Malah, ada yang sanggup menawarkan harga beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding harga asal demi memiliki basikal antik.
Sehingga kini dia sudah menjual beberapa buah basikal klasik selepas pembeli menawarkan harga hampir RM1,000 bagi sebuah basikal.
"Kalau hendak dikira, dahulu saya ada lebih kurang 60 buah, sebab zaman meleset, kita jual.
"Sekarang dia orang buat tawaran baharu, kita juallah. Kemudian hanya yang tinggal sini 15 buah saja yang saya sayang yang masih kita boleh guna pakai," ujarnya.
Lima belas basikal klasik Azizan yang masih ada kini sering digunakan dalam aktiviti bersama komuniti Bagan Ajam selain menerima jemputan untuk membawa pengantin.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Azizan Darus #Bagan Ajam #basikal #basikal antik #basikal tua #England #Hercules #model #Raleigh #remaja #sekolah #shm #warga emas #weekender
;