Dituduh dera dan abai remaja OKU, ibu tukar pengakuan kepada tidak bersalah
Salim Aziz
Julai 26, 2019 16:56 MYT
Julai 26, 2019 16:56 MYT
Pada mulanya, seorang peniaga nasi lemak berusia 40 tahun menitiskan air mata ketika mengaku salah, di Mahkamah Sesyen Kangar, pada Jumaat atas kesalahan pengabaian seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) di Arau, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Zarina Murni Mohd Hashim bertindak mengubah pengakuannya kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan, selepas pertuduhan itu dibacakan semula di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, Zarina sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, didakwa mengabaikannya di sebuah rumah di Kampung Gial pada 2018 dan 2019.
Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun, atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Diyana Ab Syukor.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetap 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam pendakwaan yang dilakukan berasingan, anak sulung tertuduh berusia 15 tahun mengaku salah di Mahkamah Majistret Kangar, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adik perempuannya.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya, menggunakan sebatang alat pemateri, paip getah dan penyangkut plastik di lokasi sama, pada 6 pagi, 1 Julai lalu.
Pendakwaan itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Norhayati Ibrahim memerintahkan tertuduh tidak diikat jamin kerana tiada penjaga.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dihantar ke Penjara Juvana Sungai Petani, Kedah sementara menantikan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
4 September depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menentukan hukuman yang dikenakan.
Pada Sabtu, Astro AWANI melaporkan, seorang remaja OKU jenis lembam berusia 14 tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan abang kandungnya setelah ditemui dengan kesan luka baru dan lama, di kediaman mereka di Kampung Gial Tengah, Mata Ayer, Perlis.
Perbuatan ibunya dan abang berumur 15 tahun itu terbongkar selepas pendedahan yang dimuat naik seorang pengguna Twitter.
Siasatan awal polis turut menemui kesan kecederaan lama pada bahagian belakang badan dan pergelangan tangan kiri mangsa, selain satu kesan luka baharu di bahagian belakang leher.
#abai anak
#abang kandung dera
#dera anak
#ibu kandung dera
#Kampung Gial Tengah
#kes mahkamah
#OKU
#orang kelainan upaya