Dituduh cederakan kanak-kanak, guru PASTI mengaku tidak bersalah
Adie Sufian Zulkefli
Januari 11, 2018 23:37 MYT
Januari 11, 2018 23:37 MYT
Seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun pada Mac tahun lalu.
Nur Afiqah Mohamad Helmi, 18, selaku orang yang kena tuduh (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap pertuduhan itu dalam prosiding di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun pada 7 Mac 2017, kira-kira jam 12.30 tengah hari di PASTI Al-Ajwad Taman Kemudi, Jalan Kuala Kedah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Feb depan.
Sementara itu, mahkamah membenarkan OKS dilepaskan dengan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin.