Dituduh bocor rahsia kerajaan punca saya dihalang - Sanusi
Sinar Harian
April 2, 2023 17:38 MYT
April 2, 2023 17:38 MYT
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan tuduhan membocorkan rahsia sulit kerajaan menjadi punca dirinya dilarang hadir ke majlis rasmi Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA’23).
Tuduhan itu dibuat berdasarkan satu program ceramahnya di Sungai Besar, Selangor, kerana beliau dikatakan telah membocorkan rahsia kerajaan kepada umum selepas hadir mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua Menteri Besar serta Ketua Menteri di Parlimen.
"Saya beritahu (dalam ceramah tersebut) saya hadir mesyuarat itu, siapa yang bentang dan mengenai apa tetapi bukan isi yang ada di dalam kertas.
"Inilah tuduhan mengatakan saya membocorkan rahsia kerajaan. Jadi saya dilarang menyertai program Kerajaan Persekutuan kerana cerita Anwar bentang sendiri kertasnya (pembentangan).
“Siapa bentang dan mesyuarat itu bukan sulit. Kandungan kertas (pembentangan) yang ditulis itu sebenarnya sulit. Saya beritahu siapa bentang bukan apa yang dibentang.
"Bila keluar arahan kabinet (larangan kepada beliau), semua kementerian akan dapat arahan sama.
"Semua agensi persekutuan di Kedah juga dapat seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan saya tidak boleh hadir program MADA,” katanya seperti yang dipetik melalui video yang dimuatkan di Facebooknya pada Ahad.
Jelasnya, mesyuarat tersebut pada awalnya diadakan di Putrajaya namun dipindahkan ke Parlimen sempena persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung di situ.
“Sempena Mesyuarat Raja-Raja Melayu memang akan ada mesyuarat. Dalam mesyuarat itu dibincangkan mengenai agenda pembangunan negeri tetapi pada hari itu ada dua pembentangan iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.
Menurut Muhammad Sanusi, pembentangan KPKT telah dilakukan oleh oleh pegawainya dan MOF pula dibentangkan sendiri oleh menterinya kerana Ketua Setiausaha Perbendaharaan masih belum dilantik pada waktu tersebut.
“Dia (PM) bentang sendiri tetapi jadi lain kerana apa yang dibentang dengan ditulis di dalam kertas yang diedarkan kepada semua tidak sama.
"Ia bukan jadi pembentangan tetapi syarahan. Saya mesej kawan saya dalam mesyuarat itu dan kata ini bukan pembentangan tapi syarahan kewangan,”jelas beliau.
Mengulas semula tuduhan berkenaan, Muhammad Sanusi berkata, sebelum itu satu mesyuarat bersama beberapa kementerian yang terlibat dengan LIMA’23 telah diadakan di Langkawi semasa beliau menunaikan umrah.
Menurutnya, semua agensi dipanggil termasuk pejabat MB tetapi oleh kerana ketua setiausaha sulit dan setiausaha sulit pergi menunaikan umrah bersama beliau, maka mereka tidak dapat menyertai mesyuarat tersebut.
“Balik dari Makkah, dijemput pula ke mesyuarat kedua dan setiausaha sulit saya hadir ke Langkawi dan tengok kepada minit mesyuarat pertama, mereka telah membuat beberapa keputusan mengenai program sempena LIMA'23 dan akan dirasmikan oleh MB Kedah,” ujar beliau.
Menurutnya, seorang pegawai kanan kerajaan memaklumkan mesyuarat kedua yang diadakan itu bertujuan meminda minit mesyuarat pertama yang mana semua program yang sepatutnya dirasmikan olehnya telah digantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dakwanya, alasan yang diberikan mengapa keputusan pada minit mesyuarat perlu diubah adalah disebabkan beliau dikatakan telah membocorkan rahsia kerajaan.
"Dia tunjuk (surat) arahan kabinet. Arahan kabinet ini sulit, tidak boleh diedarkan.
"Dituliskan dalam keputusan itu, MB Kedah tidak dibenarkan menyertai majlis Kerajaan Persekutuan dengan alasan saya membocorkan rahsia kejayaan," katanya lagi. -Sinar Harian
#Muhammad Sanusi Md Nor
#bocor rahsia sulit kerajaan
#larangan hadir majlis rasmi Kerajaan Persekutuan
#LIMA 23