Ditinggalkan ibu, mula bekerja di lorong usia 12 tahun
Sinar Harian
Oktober 25, 2018 09:10 MYT
Oktober 25, 2018 09:10 MYT
MULA bekerja di lorong seusia 12 tahun, ditinggalkan oleh ibu di tepi jalan, hanya ditemani sebotol susu, lima helai lampin bersama surat beranak.
Itu antara perkongsian komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bersama penceramah bebas, Ebit Lew yang mengambil pendekatan bersama mereka dalam 'kem Mak Nyah'.
Menerusi Instagram peribadinya, Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau, melahirkan rasa sebak ketika sesi hati ke hati bersama golongan tersebut selama tiga hari dua malam di sebuah resort.
Katanya, salah seorang komuniti itu bernama Mas berusia 26 tahun telah kembali kepada jalan Allah dengan mengambil masa tiga hari sahaja malah kini telah mendirikan solat lima waktu tanpa gagal.
Bagaimanapun, perit hidupnya dilalui sendirian ketika usia masih kecil setelah ditinggalkan ibunya di tepi jalan sehingga dirinya kekeringan air mata.
Namun sinar cahaya hidupnya berubah setelah bertemu dengan Ustaz Ebit Lew, dan diisi dengan beribadah tanpa rasa jemu.
Kata Mas menerusi video di Instagram Ebit Lew, dia memberitahu telah mula memelihara solat dan timbul rasa rindu hendak bertemu ibu ayahnya walaupun tidak pernah berjumpa.
"Saya memang rindukan mak ayah walaupun tidak berjumpa. Sebelum ini memang tidak rasa rindu, tetapi bila saya mula solat, saya selalu rindu.
"Saya rasa mereka ada dekat dengan saya, saya ada simpan lagi surat beranak tetapi saya belum ada kekuatan untuk mencari mereka," katanya.
Selain itu, menerusi Facebook Wan Syafiq Wan Zahidi turut memuat naik video tersebut hingga tular di media sosial.
Sehingga artikel disiarkan, video berdurasi 2.05 minit itu meraih 173, 000 tontonan, 4,900 tanda suka, lebih 1,000 maklumbalas dan hampir 7,000 perkongsian dari netizen.