Ditenggelami air empat hari, 125 hektar sawah terjejas banjir di Bagan Serai
Abd Razak Mohd Ali
November 24, 2020 13:45 MYT
November 24, 2020 13:45 MYT
BAGAN SERAI: Seluas 125 hektar sawah padi milik 75 petani di sini terjejas akibat ditenggelami air sehingga empat hari, ekoran banjir yang berlaku.
Antara kawasan yang terlibat ialah di Parit Air Hitam 3, Parit Mat Keling, Parit 1 & 2 Padang Lalang, Parit 3 & 4 Alor Setanggok dan Sungai Kepar.
Menurut Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari, berdasarkan tinjauannya sejak beberapa hari lalu, umur padi yang terlibat adalah antara 15 dan 40 hari.
“Punca banjir adalah disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak 15 November, pelepasan air lebihan kolam Bukit Merah dan paras air sungai yang tinggi menyebabkan aliran air keluar menjadi perlahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Yunus berkata, Jabatan Pertanian sedang menjalankan bancian awal pada setiap lot yang terlibat bagi penyediaan permohonan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi.
Di samping itu, katanya, pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyediakan pam-pam bergerak untuk mengurangkan kesan banjir.
“Jabatan Pertanian serta agensi yang lain akan terus memantau keadaan semasa di kawasan penanaman padi kerana ramalan hujan dijangka akan berterusan pada minggu ini,” ujarnya.
Beliau meminta pesawah membuat laporan segera kepada Jabatan Pertanian serta agensi yang berkaitan sekiranya terdapat kawasan tanaman padi yang lain terjejas akibat banjir.
Jelasnya, bancian awalan serta terperinci telah dibuat dan sekiranya berlaku kemusnahan tanaman, laporan dan permohonan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi akan dibuat kepada pihak kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
#sawah
#banjir
#Bagan Serai
#Abdul Yunus Jamhari
#kolam Bukit Merah
#bancian awal
#Tabung Bencana Tanaman Padi
#pam bergerak
#Sungai
#aliran air
#pesawah
#laporan
#Kemusnahan
#tanaman