Ditegur tak hadir, MUDA kecewa dengan respons Fahmi Fadzil
Pia Ernadya
Ogos 2, 2024 22:08 MYT
Ogos 2, 2024 22:08 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan tindakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menegur ketidakhadiran parti itu dalam sesi libat urus kementerian pada 15 Julai yang lalu sebagai 'mengambil kesempatan untuk memperlekehkan MUDA'.
Menurut parti tersebut, MUDA ada menerima jemputan melalui e-mel dua hari sebelum program tersebut melalui Setiausaha Agung, Amir Hadi.
Walau bagaimanapun, kerana waktu yang terlalu singkat, MUDA tidak dapat menghantar wakil untuk hadir sesi libat urus itu.
"Kami kecewa dengan tindakan Fahmi Fadzil yang mengambil kesempatan ini untuk memperlekehkan MUDA, Bersih, NGO-NGO dan juga institusi kerajaan yang tidak hadir dalam sesi tersebut, dan seakan-akan membelakangkan segala kritikan yang diterima dan cuba mengalih perhatian dan isu sebenar," kata MUDA menerusi kenyataan media pada Jumaat.
Ujar parti itu lagi, Kerajaan Perpaduan juga dilihat tidak mempunyai komitmen untuk memansuhkan atau meminda Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sebaliknya, Kerajaan dilihat lebih berminat untuk memperkenalkan undang-undang yang mengawal kebebasan bersuara ahli politik, aktivis dan rakyat yang tidak bersependapat,bertentangan dengan semangat reformasi yang diperjuangkan sekian lama.
"MUDA mendukung cadangan dan jemputan Bersih kepada Menteri, untuk diadakan satu dialog terbuka berkaitan isu ini dan berharap beliau akan menerima jemputan ini, dan tidak cuba 'mengalihkan tiang gol' dengan menyerang pihak lain atas keputusan yang dibuat yang mengundang kritikan dari banyak pihak," tambah MUDA lagi.
Selain itu, MUDA turut menggesa Menteri serta pejabatnya untuk melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan di luar senarai jemputan.
"(Ini) termasuk Lawyers for Liberty (LFL) yang tidak dijemput walaupun LFL antara yang paling banyak mengulas isu ini, dan menjalankan lebih banyak siri sesi libat urus sebelum sebarang keputusan diambil.
Terdahulu, dalam satu hantaran di X, Fahmi menyuarakan kekecewaannya terhadap dua organisasi iaitu Bersih dan MUDA yang banyak menyuarakan kritikan mengenai tindakan kerajaan untuk melesenkan platform media sosial tetapi gagal hadir dalam sesi libat urus bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam.
"Bersih dijemput ke sesi libat urus MCMC mengenai pelesenan platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet, tapi tidak hadir.
"MUDA juga dijemput dan tidak hadir.
"Banyak komen daripada mereka tapi apabila dijemput untuk berikan pandangan dan bertanyakan soalan, kelibat mereka langsung tidak kelihatan," katanya.