Ditahan selepas ugut bunuh kakak tiri kerana tidak dibenarkan pinjam motosikal
Fareez Azman
September 2, 2020 12:42 MYT
September 2, 2020 12:42 MYT
Gara-gara tidak berpuas hati akibat tidak dibenarkan menggunakan motosikal, seorang lelaki berusia 34 tahun sanggup bertindak mengugut bunuh kakak tirinya di Taman Sri Gombak, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, siasatan awal mendapati suspek bertindak memecahkan pintu gelangsar rumahnya pada 27 Ogos lalu.
Pada 31 Ogos lalu, suspek sekali lagi bertindak agresif dengan memecahkan meja, kerusi dan sinki di rumah berkenaan.
Mangsa yang berusia 39 tahun mengalami ketakutan dan membuat laporan polis di Balai Polis Gombak pada 31 Ogos lalu.
"Adik tiri pengadu tidak berpuas hati dan telah mengugut untuk membunuh pengadu. Lalu pengadu telah lari masuk ke dalam bilik kerana ketakutan.
"Selanjutnya pada 31 Ogos 2020 jam lebih kurang pukul 4 petang, pengadu bangun dari tidur dan mendapati adik tirinya telah memecahkan meja, kerusi dan sinki. Pengadu berasa takut dan trauma ketika berada di rumah. Pengadu kemudian ke Balai Polis Gombak untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gombak dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak telah menahan suspek di rumah berkenaan kira-kira pukul 12.15 pagi pada 1 September.
Siasatan terhadap suspek mendapati dia mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan ugutan jenayah.