Disyaki terima rasuah, bekas Datuk Bandar PBT ditahan SPRM

Astro Awani
Jun 1, 2024 23:28 MYT
Suspek lelaki berusia 63 tahun tersebut merupakan mantan Datuk Bandar di sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang individu merupakan bekas Datuk Bandar kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM1 juta.
Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 63 tahun tersebut ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira jam 4 petang Sabtu.
"Difahamkan, tangkapan dibuat berkaitan suspek semasa menjawat jawatan Datuk Bandar sekitar tahun 2020 hingga 2021, telah menerima wang rasuah lebih daripada RM1 juta daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan kerana telah meluluskan projek.
"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah 1 (Khas Rasuah) Johor Bahru pada jam 8.30 pagi Ahad (2 Jun) dengan 12 pertuduhan," maklumnya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
#Rasuah #SPRM #Datuk Bandar #Johor
;