Disyaki mencuri lembu sebelum kemalangan

Sharom Abu Bakar
Julai 4, 2019 05:16 MYT
Keadaan lembu dan kereta Proton Saga BLM selepas terlibat dalam kemalangan. - Astro AWANI/Sharom Abu Bakar
Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta yang dipandu dengan muatan seekor lembu dipercayai dicuri, terbabit dalam kemalangan.
Nahas berlaku di KM308.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sekitar 8.50 pagi Khamis.
Dalam kejadian itu, pemuda yang berusia 32 tahun itu dalam perjalanan dari arah Bukit Besi, Dungun menuju ke Bukit Kuantan, Pahang.
Setiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan di tengah lebuhraya lalu terbabas ke kiri jalan.
Pasukan Peronda Lebuhraya Polis Diraja Malaysia yang tiba tidak lama kemudian, mendapati seekor lembu betina yang disyaki dicuri, berada di belakang bahagian tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kehilangan lembu dari pemilik haiwan terbabit.
Tambahnya, pemuda terbabit telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.
#curi lembu #kemalangan lpt2 #Lebuhraya Pantai Timur 2 #LPT2
;