Disyaki jadi pencetus kluster kilang, Polis Melaka siasat syarikat ejen pekerja asing

Shuhada Abdul Kadir
Julai 9, 2021 17:51 MYT
Abdul Majid berkata, syarikat beralamat di Petaling Jaya, Selangor itu dipercayai gagal membuat saringan terhadap semua 79 pekerja asing yang dibawa ke Melaka. - Gambar fail
AYER KEROH: Polis Melaka akan memanggil pengurusan sebuah syarikat ejen pekerja asing untuk diambil keterangan kerana dipercayai menjadi pencetus peningkatan kes COVID-19 mendadak di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, syarikat beralamat di Petaling Jaya, Selangor itu dipercayai gagal membuat saringan terhadap semua 79 pekerja asing yang dibawa ke Melaka.
“Hasil siasatan mendapati, agensi pekerja asing itu membawa 79 pekerja dari beberapa negeri untuk bekerja secara kontrak selama tiga bulan di sebuah kilang di sini yang mana 51 daripada mereka (kemudian) disahkan positif COVID-19.
“Syarikat itu juga didapati gagal membuat saringan COVID-19 terhadap pekerja asing tersebut sebelum dibawa masuk ke kilang mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berniat jahat merebakkan sesuatu jangkitan, yang jika bersalah, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya siasatan turut dilakukan di bawah Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang memerlukan majikan memastikan pekerja asing menjalani saringan COVID-19.
#Polis Melaka #pekerja asing #syarikat ejen pekerja asing #cetus kluster #peningkatan mendadak #COVID-19 #kilang #Kawasan Perindustrian Ayer Keroh #ejen disiasat
;