'Disneyland Malaysia' kian suram, sepi?

Aida Aziz
Jun 20, 2024 10:30 MYT
Menurut Majlis Daerah Kampar, terdapat unit kedai tiga tingkat yang terdiri daripada tiga deretan bangunan di Bandar Agacia, yang terletak kira-kira 2 kilometer dari Taman Bandar Baru dan pekan Kampar. - Foto Astro AWANI
KAMPAR: Bandar Agacia, atau sinonim dengan julukan 'Disneyland Malaysia' sebelum ini, kini tidak lagi kelihatan gah seperti dahulu.
Suasana pada siang harinya boleh dikatakan agak suram dan kurang pengunjung.
Kawasan ini pernah menjadi tarikan pelancong disebabkan warna dan struktur bangunannya yang ceria serta menarik perhatian, sehingga mendapat gelaran Disneyland tersebut.
Setiap unit mempunyai perincian yang berbeza dengan tema Inggeris, membuatkan pengunjung seolah-olah berada di bandar Eropah.
Diakui, masih ada beberapa lot kedai yang beroperasi pada waktu tertentu dan difahamkan ada kedai makan yang dibuka pada waktu petang, termasuk pasar malam.
Tinjauan di Bandar Agacia yang terletak kira-kira 2 kilometer dari Taman Bandar Baru dan pekan ini mendapati, lokasi yang berpotensi menarik pengunjung dari dalam dan luar Perak itu tidak rancak dan seakan kosong.
Malah, portal rasmi Majlis Daerah Kampar (MDKpr) turut menyenaraikan lokasi itu sebagai salah satu tempat menarik di daerah ini.
Sayangnya, situasi sebenar tidak menggambarkan seperti apa yang dinyatakan.
Mungkin lebih banyak promosi dan program wajar dilakukan di situ, bagi menarik lebih ramai orang untuk bergambar dan melawat bangunan tersebut.
Sebelum ini, netizen turut mempersoalkan keadaan di situ yang dikatakan seperti tidak berpenghuni, ibarat 'bandar hantu'.
Selain itu, ramai yang berpendapat sepatutnya lebih banyak tarikan perlu diwujudkan bagi menarik minat orang ramai untuk berkunjung.
"Bandar dan konsep sudah cantik, tetapi kurang pelancong dari dalam dan luar negeri.
"Hendak hidupkan Bandar Agacia kena ada kendera saji (food truck) waktu malam, kena ada wayang dan tempat boling, baru pengunjung rajin datang," komen netizen berhubung Bandar Agacia.
Diharapkan ada pihak yang dapat membantu melonjakkan kawasan ini sewajarnya dan pihak berkuasa tempatan boleh memainkan peranan dengan lebih mempromosi dan meuar-uarkan lokasi itu kepada umum.
MDKpr dalam keterangan ringkas di portalnya memaklumkan, terdapat unit kedai tiga tingkat yang terdiri daripada tiga deretan bangunan di kawasan itu.
"Fasad bangunan berkonsep Disney dengan kombinasi pelbagai warna pastel. Tarikan utama adalah sebagai lokasi bergambar kerana keunikan bangunan yang ada.
"Kedai makan dan pasar malam setiap Sabtu bermula jam 6 petang di sepanjang jalan di Bandar Agacia," menurut kenyataan itu.
#Disneyland Malaysia #pelancongan #Kampar #Bandar Agacia
;