Diskusi meja bulat tekan keperluan perkasa strategi pengurangan kemudaratan kesihatan awam

Amzar Alif
Oktober 29, 2024 14:05 MYT
(Dari kiri) Felo IKMAS UKM, Muhammed Abdul Khalid; Pensyarah Perubatan JKA UKM, Prof Dr Sharifah Ezat Wan Puteh; Pengarah Penyelidikan Bait Al Amanah, Benedict Weerasena; Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, Azrul Mohd Khalib. -Gambar HaRAN.
KUALA LUMPUR: Harm Reduction Action Network (HaRAN) dengan kerjasama Humanize Malaysia menganjurkan satu diskusi meja bulat yang memberi tumpuan kepada kepentingan memperluas usaha pengurangan kemudaratan bagi isu HIV/AIDS, penggunaan tembakau dan diet tidak sihat.
Program ini menggariskan keperluan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menjaga kesihatan awam sambil mengimbangi kepentingan ekonomi dan nilai agama.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, menegaskan bahawa usaha ini adalah penting untuk mencari titik persamaan antara kesihatan awam, ekonomi, dan nilai keagamaan.
Menurutnya, pelaksanaan strategi ini seiring dengan pelan reformasi kesihatan awam negara bagi tempoh 15 tahun akan datang.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban penyakit dan meningkatkan kualiti hidup, tetapi juga meringankan tekanan ke atas sistem kesihatan serta mengurangkan kos rawatan jangka panjang,” ujarnya.
Diskusi ini turut menyentuh kejayaan beberapa program, termasuk Program Pertukaran Jarum dan Picagari (NSEP) dan Terapi Substitusi Opioid (OST), yang telah menunjukkan keputusan positif dalam menangani isu kesihatan berkaitan penggunaan dadah.
Presiden HaRAN, Dr Anita Suleiman, menekankan keperluan untuk melaksanakan dasar pengurangan kemudaratan dengan segera sambil mengingatkan bahawa negara kini berada di titik penting dalam sejarah kesihatan awam.
“Dengan data dan bukti yang ada, kita berpeluang untuk membina masa depan di mana kesihatan sejagat dapat direalisasikan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Penyelidik Bait Al Amanah, Benedict Weerasena, turut mengulas mengenai manfaat ekonomi melalui pendekatan pengurangan kemudaratan dalam penggunaan tembakau.
Jelasnya, Malaysia kekurangan pendekatan ketiga dalam usaha mengawal tabiat merokok yang setakat ini hanya memfokuskan kepada pencegahan.
“Saya percaya kita di Malaysia kekurangan pendekatan ketiga yang penting. Ketika ini, kita memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu penghentian (berhenti merokok) dan pencegahan.
"Namun, pautan yang hilang ialah pengurangan kemudaratan, yang menyediakan alternatif bagi mereka yang tidak dapat berhenti atas pelbagai sebab,” katanya.
Selain itu, para pemimpin agama yang hadir turut menyokong usaha ini yang jelas menunjukkan bahawa pendekatan pengurangan kemudaratan selari dengan nilai Islam dalam menjaga nyawa dan kesihatan.
Jelas Pengarah Penyelidikan Institut Kefahaman Malaysia (IKIM), Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, kepentingan melindungi kepentingan awam yang lebih besar dengan mencegah kerosakan dan kemudaratan terlebih dahulu.
‘‘Mencegah kerosakan atau mudarat perlu kita dahulukan berbanding menjaga kemaslahatan terutamanya dalam hal berkaitan kepentingan awam.
"Di dalam konteks kesihatan awam, saya rasa ini adalah satu prinsip yang amat relevan kerana kita nak jaga kepentingan awam yang lebih besar,” kata Dr Shaikh Mohd Saifuddeen.
#HaRAN #kesihatan awam negara #Datuk Lukanisman Awang Sauni #Dr Anita Suleiman #Benedict Weerasena #Dr Shaikh Mohd Saifuddeen #Humanize Malaysia
;