Diskusi Meja Bulat: Kualiti Pendidikan Negara diperluas ke seluruh negara - Fadhlina
Bernama
Disember 11, 2023 14:43 MYT
Disember 11, 2023 14:43 MYT
PUTRAJAYA: Diskusi Meja Bulat: Kualiti Pendidikan Negara, akan dibawa ke seluruh negara bagi mendapatkan pelbagai pandangan daripada pihak berkepentingan sektor pendidikan, dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Diskusi Meja Bulat: Kualiti Pendidikan Negara yang bermula di sini hari ini, Fadhlina berkata diskusi tersebut merupakan pengubah keadaan dalam mendapatkan pandangan bagi mengenal pasti pencapaian, peluang dan penambahbaikan sektor pendidikan negara.
Diskusi hari ini yang dihadiri 25 individu berkepentingan seperti pakar pendidikan, ahli akademik, pemain industri dan golongan profesional, membincangkan perihal berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, serta laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang diumumkan 5 Dis.
"Ia tidak akan berakhir di sini sahaja, diskusi ini akan diperluaskan dengan diskusi yang lebih mendalam dan terperinci selepas ini. Apa yang diangkat hari ini akan dibincangkan dalam perbincangan yang lain," kata Fadhlina.
Mengenai Kurikulum Persekolahan 2027, Fadhlina berkata ia antara agenda yang akan dimasukkan dalam siri Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara, yang akan diadakan tahun hadapan.
"Kerangka (Kurikulum Persekolahan 2027) sudah siap, sekarang kita dalam proses untuk jerayawara untuk kita bincangkan perkara ini di peringkat akar umbi," katanya.
Pada Bicara Profesional KPM Kurikulum Persekolahan 2027, 6 Dis, Fadhlina dilaporkan berkata pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta kelas pembelajaran bersepadu, merupakan pendekatan baharu yang akan diperkenalkan KPM dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah, ia akan diperkenalkan pada 2026.
-- BERNAMA