Diskusi agama bersifat provokatif, KPN akan panggil pihak terlibat

Bernama
April 15, 2024 23:00 MYT
K. Saraswathy berkata sesi berkenaan turut diharap dapat menggalakkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memanggil pihak yang dikenal pasti terlibat diskusi agama bersifat provokatif menerusi media sosial untuk menghadiri satu perbincangan bersemuka dalam masa terdekat sebagai langkah memperbaiki suasana keharmonian dalam negara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dalam kenyataan berkata sesi berkenaan turut diharap dapat menggalakkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat selain memastikan isu berbaur provokatif agama tidak berulang pada masa akan datang.
Beliau berkata ia antara perkara dipersetujui oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang ketika pertemuan pihak kementerian itu dan wakil Malaysia Hindu Sangam (MHS) di sini pada Isnin.
"Menteri (Aaron) menekankan bahawa KPN sentiasa mengambil berat serta menggalakkan persefahaman dan sifat hormat antara penganut agama untuk memastikan setiap individu dapat mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing dengan aman.
"KPN ingin menekankan bahawa keupayaan seluruh rakyat meraikan kemajmukan etnik, kepelbagaian agama serta kekayaan budaya dan tradisi menjadi tunjang kekuatan negara," katanya.
Menurut Saraswathy inti pati pertemuan KPN dengan MHS antara lain menyentuh isu berkaitan kenyataan berbaur kebencian dan penghinaan agama menerusi media sosial yang disifatkan amat provokatif selain menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
-- BERNAMA
#media sosial #suasana keharmonian #provokatif agama #ketenteraman awam
;