Diskriminasi terhadap pencari kerja: Apa anda perlu tahu?
Isabelle Leong
September 25, 2019 07:28 MYT
September 25, 2019 07:28 MYT
PELUANG melanjutkan pelajaran ke menara gading kini tidak lagi menjadi jaminan kepada mahasiswa untuk memperoleh pekerjaan selepas mereka tamat pengajian kelak.
Hal ini kerana, menurut kaji selidik oleh pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS), wujudnya diskriminasi dalam pencarian kerja, khususnya berdasarkan warna kulit pemohon.
Berdasarkan kajian tersebut, bangsa seseorang pencari kerja terutamanya Melayu dan India didakwa menjadi faktor utama sukar mendapatkan pekerjaan.
Namun, apakah sebenarnya maksud diskriminasi terhadap pencari kerja?
Apakah yang anda perlu tahu tentang diskriminasi terhadap pencari kerja?
Diskriminasi yang berlaku ke atas pencari kerja dan juga pekerja bukan sahaja berdasarkan bangsa, malah juga berasaskan kepada jantina, agama, ketidakupayaan, status perkahwinan, kehamilan dan bahasa.
Isu berkenaan diskriminasi terhadap pencari kerja dan pekerja menjadi topik yang semakin hangat diperkatakan susulan berita mengenai beberapa rangkaian hotel antarabangsa yang melarang pekerja wanita beragama Islam di bahagian khidmat pelanggan untuk memakai tudung.
Walaupun episod tersebut telah diselesaikan, namun ia tidak patut dipandang remeh kerana terdapat kemungkinan berlakunya isu yang membabitkan bentuk diskriminasi yang lain di tempat kerja.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, masalah diskriminasi di tempat kerja bukan sahaja meliputi masalah berkaitan dengan isu pemakaian pekerja, ia juga boleh berlaku dalam banyak perkara.
Antaranya adalah diskriminasi dari segi jantina atau gender, aspek agama atau kepercayaan, aspek bangsa, warna kulit dan keturunan, umur, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lain-lain lagi.
Mengapa anda perlu tahu tentang masalah diskriminasi ini?
Masalah diskriminasi yang berlaku dalam proses pemilihan pekerja dan di tempat kerja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan dan menolak diskriminasi dan ketidakadilan.
Ia boleh menyebabkan pihak yang tertindas terlepas peluang dalam memperoleh pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan, sekali gus memberikan kesan negatif kepada mereka.
Situasi sebegini boleh menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah kerana mereka terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian mereka dan dibayar gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan yang diperoleh.
Bagaimana diskriminasi sebegini memberi kesan kepada ekonomi negara?
Tidak boleh dinafikan bahawa masalah pengangguran merupakan masalah yang boleh berlaku di mana-mana negara, termasuk negara membangun dan maju.
Bagaimanapun, berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran Malaysia pada 2018 adalah pada 3.3 peratus manakala kadar pengangguran belia pada tahun yang sama adalah pada 10.9 peratus.
Kadar pengangguran yang tinggi, terutamanya membabitkan golongan belia, akan memberikan kesan kepada ekonomi negara dari segi pendapatan hasil cukai dan kuasa membeli dalam kalangan rakyat.
Oleh itu, diskriminasi terhadap pencari kerja yang menyebabkan peningkatan kadar pengangguran secara tidak langsung boleh mengakibatkan kelembapan ekonomi dan terbantutnya pertumbuhan ekonomi negara.
Suhakam mahu perlindungan buat pencari kerja
Pada Selasa, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya memasukkan perlindungan untuk pencari kerja daripada didiskriminasi, menerusi pindaan Akta Kerja 1955.
Suhakam memaklumkan cadangan tersebut sudah dikemukakan Kementerian Sumber Manusia bagi melindungi pencari kerja dan pekerja daripada diskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa, ketakupayaan, status perkahwinan, kehamilan dan bahasa.
Namun, suruhanjaya tersebut dimaklumkan terdapat frasa 'pencari kerja' dan Bahagian IA bagi draf pindaan Rang Undang-undang (RUU) baharu yang mempunyai perlindungan terhadap pencari kerja, akan dimansuhkan.
Kementerian Sumber Manusia semak Akta Kerja 1955 untuk pindaan
Pada Ogos lalu, Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata Akta Kerja 1955 sedang disemak semula untuk dipinda dan dibawa ke Kabinet, termasuk isu diskriminasi di tempat kerja.
Katanya, perkara lain yang turut disemak termasuk cuti paterniti dan tempoh waktu bekerja serta diharap dapat dikemukakan pada sesi persidangan Parlimen, Oktober ini.
Benarkah wujudnya diskriminasi terhadap pencari kerja?
Apakah pendapat anda tentang diskriminasi ini serta kesannya terhadap individu dan negara?
Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah!
#Akta Kerja 1955
#bangsa
#Cent-GPS
#diskriminasi
#ekonomi
#hak kesamarataan
#Jantina
#kaji selidik
#Kementerian Sumber Manusia
#mahasiswa
#Muzaffar Syah Mallow
#Pekerja
#peluang pekerjaan
#pencari kerja
#pengangguran
#Perlembagaan Persekutuan
#Suhakam
#tempat kerja