Diskriminasi majikan terhadap wanita menyedihkan - Haryaty
Astro Awani
September 27, 2021 14:47 MYT
September 27, 2021 14:47 MYT
MELAKA: Tindakan segelintir majikan yang masih mengamalkan sikap diskriminasi terhadap kaum wanita ketika golongan itu dilihat sebagai penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara, dilihat sebagai suatu yang menyedihkan.
Menurut Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, pihaknya turut menerima laporan masih ada segelintir majikan meminggirkan golongan itu di tempat kerja.
“Namun hasil laporan dan maklumat yang diterima, masih wujud sikap segelintir pihak dalam mendiskriminasi kaum wanita khususnya dalam isu penetapan gaji dan perjawatan teknikal/profesional di negara ini.
"Adalah suatu yang menyedihkan apabila di era teknologi yang serba maju ini masih lagi wujud pihak yang mempunyai minda kelas ke-3 seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Parlimen sebentar tadi.
Menurutnya RMK-12 yang dibentangkan itu disifatkan sebagai inklusif dan mampan selari dengan matlamat kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.
Sekali gus satu pengiktirafan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan penglibatan dan peranan golongan wanita dalam pembangunan ekonomi negara.
Haryaty turut mengharapkan kerajaan agar untuk menubuhkan satu unit task force di dalam pelan tindakan itu bagi menanggani isu diskriminasi terhadap golongan wanita secara lebih komprehensif.
Terdahulu Perdana Menteri berkata usaha memperkasakan gender dalam pembangunan akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan.
Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025. Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat. Ini akan mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja.
Pembangunan ekonomi usahawan wanita akan turut diperkukuhkan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran bagi mengalakkan pemerkasaan gender di negara ini.