Diskaun tol untuk Deepavali
Bernama
November 4, 2015 20:58 MYT
November 4, 2015 20:58 MYT
Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) menawarkan diskaun tol 10 peratus sempena sambutan Deepavali pada 10 Nov dari 12.01 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Bahagian Tol IJM dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan pengguna jalan yang menghala ke selatan menggunakan Lebuhraya LEKAS dan yang menghala ke timur menggunakan Sambungan Timur baharu BESRAYA dari Salak Selatan atau Jalan Istana ke MRR2 menerusi Plaza Tol Loke Yew.
Lebuhraya Maju (MEX) akan juga menawarkan diskaun 10 peratus, dari 12.00 pagi hingga 11.59 malam, menurut kenyataan Maju Expressway Sdn Bhd (MESB).
Untuk butir selanjutnya mengenai diskaun dan maklumat trafik, orang ramai boleh mengikuti Twitter di @BESRAYAtrafik, @NPEtrafik, @LEKAStrafik dan MEXTraffic.
Di George Town, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) menawarkan diskaun kadar tol 15 peratus kepada semua pengguna kenderaan Kelas 1 di Plaza Tol Sungai Nyior.
Pengurus Besar (Operasi) LLB Adnan Ariffin berkata diskaun sebanyak 20 sen itu bermula 12.01 pagi hingga 11.59 malam pada 10 Nov.
"LLB menggalakkan pengguna lebuhraya membuat bayaran tol secara elektronik supaya perjalanan lebih cepat dan selesa terutama pada musim perayaan ini," katanya dalam kenyataan.
#Besraya
#Deepavali
#Lebuhraya Kajang-Seremban
#Lebuhraya Sungai Besi
#LEKAS
#Maju Expressway Sdn Bhd
#Plaza Tol Loke Yew
#tol