Diskaun tol 30 peratus untuk pengguna LDP, 10 peratus bagi Kesas
Bernama
Mei 28, 2019 21:07 MYT
Mei 28, 2019 21:07 MYT
Diskaun tol sebanyak 30 peratus akan diberikan kepada setiap pengguna kenderaan Kelas 1 (satu) Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), manakala, 10 peratus untuk pengguna jenis kenderaan sama bagi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sempena Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) Sazally Saidi berkata potongan harga tol itu bermula pukul 12 tengah malam sehingga pukul 11.59 malam pada hari pertama Syawal yang dijangka disambut 5 Jun ini.
Kenderaan Kelas 1 merupakan kenderaan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi.
"Dianggarkan hampir 516,000 pengguna LDP dan KESAS akan menerima manfaat daripada jumlah RM256,000 subsidi tol yang diberikan pada Aidilfitri tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra dan Iftar Ramadhan LITRAK dan SPRINT 2019, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah.
Sazally berkata, sejak 2010 hingga 2018, LITRAK telah memberikan lebih RM14 juta subsidi tol kepada jutaan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan.
"Kami (LITRAK) berharap menerusi langkah kali ini, kita dapat bersama-sama dengan pengguna lebuh raya untuk berkongsi kegembiraan menyambut dan menyemarakkan Syawal," tambahnya.
Sementara itu, pada majlis itu, LITRAK menyantuni dan memberi sumbangan duit raya serta cenderahati kepada 50 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara.
LITRAK turut mengagihkan sumbangan berbentuk keperluan barangan masakan antaranya ketupat segera, kepada 30 keluarga yang terdiri daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sekitar jajaran LDP.
Dalam pada itu, LITRAK turut melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya LDP 2019 untuk penunggang motosikal dan seramai 30 pelajar Pusat Giat Mara, Puchong telah melafazkan ikrar janji untuk mematuhi undang-undang jalan raya.
-- BERNAMA
#Aidilfitri
#diskaun
#hari raya
#KESAS
#keselamatan
#LDP
#Lebuhraya Damansara-Puchong
#Lebuhraya Shah Alam
#LITRAK
#musim perayaan
#pengguna lebuh raya
#potongan harga
#Sazally Saidi
#SPRINT
#subsidi
#syawal
#tol