Diskaun tarif elektrik kepada pengeluar dan peruncit makanan di Sarawak
Azizah Alwi
Mei 26, 2022 19:23 MYT
Mei 26, 2022 19:23 MYT
KUCHING: Sarawak akan melaksanakan beberapa pendekatan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat susulan inflasi makanan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai situasi ini dan berusaha mengatasinya.
"Saya akan memperkenalkan diskaun ke atas tarif elektrik kepada pengeluar dan peruncit makanan termasuk kedai kopi, restoran serta industri makanan dan minuman lain untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan mereka.
"Oleh itu, saya menjangkakan ia akan mengurangkan harga pasaran makanan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.
Tambah Abang Johari, situasi semasa kenaikan harga bersih makanan termasuk inflasi import adalah di luar kawalan Kerajaan Sarawak.
"Kerajaan Sarawak berusaha untuk mengubah sektor pertanian kita menjadi pengeksport makanan bersih di bawah PCDS 2030, yang mana akhirnya ia akan menjadi 'game changer' dalam menyediakan tahap keselamatan makanan," katanya.
Pada sesi penggulungan itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu menjelaskan strategi dan pembangunan tenaga hidrogen di negeri itu akan diperluas serta menyentuh pelbagai sudut jana kuasa termasuk bahan api penerbangan mapan (SAF).
Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai sumber dan fasiliti yang mampu berdaya saing sebagai pembekal tenaga alternatif di peringkat global.
"SEDC telah bekerjasama dengan Airbus dan Rolls Royce menerusi Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dalam menjalankan penyelidikan dan membangunkan hidrogen hijau sebagai bahan bakar pada masa akan datang di Demak, Kuching.
"Sementara Sarawak Energy Sdn Bhd dan Pusat Biodiversiti Sarawak secara konsisten menjalankan Konsep Pembuktian (POC) terhadap usaha Sarawak untuk menjayakan ekonomi hidrogen," katanya.
Sementara itu, Premier Sarawak juga optimis sasaran negeri itu untuk mencapai peningkatan ekonomi sekitar lapan peratus di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 adalah mampu dicapai.
Ini kerana katanya, model ekonomi kerajaan negeri terbukti dan selari dengan tumpuan pasaran global semasa.
"Fokus kita adalah pada penstrukturan semula dan mempelbagaikan ekonomi kepada industri hiliran bernilai tinggi. Kita perlu menjadi inovatif, produktif dan berdaya tahan, dalam persekitaran perniagaan global yang dinamik dan tidak menentu.
"Oleh itu, dengan pasaran domestik yang kecil, kita perlu meningkatkan pengeluaran dan membangunkan lebih banyak aktiviti berorientasikan eksport," katanya.