Diskaun tambahan 18 peratus tol Jambatan Pulau Pinang untuk rakyat Pulau Pinang

Bernama
Januari 25, 2020 15:06 MYT
Penduduk Pulau Pinang serta pengguna Jambatan Pulau Pinang akan menikmati diskaun tambahan 18 peratus untuk kadar tol mulai 1 Februari ini. - Gambar fail BERNAMA
Penduduk Pulau Pinang serta pengguna Jambatan Pulau Pinang yang menikmati diskaun 20 peratus untuk kadar tol sebelum ini di jambatan itu akan menikmati diskaun tambahan 18 peratus lagi (kategori kereta persendirian) mulai 1 Februari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar baharu itu adalah hanya bagi penerima diskaun khas yang dinikmati penduduk Pulau Pinang dan warga kerja di Pulau Pinang.
"Contohnya, bayaran tol Jambatan Pulau Pinang sekarang adalah RM7 dan ia akan dipotong 18 peratus jadi lepas ini kadar tolnya adalah RM5.74.
"Bagi penduduk Pulau Pinang yang sebelum ini menikmati diskaun 20 peratus akan terus menerima diskaun 18 peratus itu lagi menjadikan harga bayaran kadar tol yang baharu ialah RM4.59," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan pengurangan kadar tol 18 peratus itu lagi membolehkan penduduk negeri ini menerima kadar bayaran baharu hanya RM4.59.
Manakala bagi penduduk atau pengguna dari luar Pulau Pinang pula akan menikmati kadar tol RM5.74 di jambatan itu selepas pengurangan kadar tol terbabit.
Pada masa ini penduduk Pulau Pinang menikmati kadar diskaun tol di jambatan itu sebanyak 20 peratus daripada RM7 kepada RM5.60
Bagaimanapun, bermula 1 Februari ini, pengiraan kadar baharu tol Jambatan Pulau Pinang bagi penduduk negeri ini akan menggunakan formula baharu dan bayaran kadar tol RM5.60 itu tidak lagi terpakai.
Guan Eng berkata, pengurangan itu adalah manfaat besar yang diterima rakyat daripada perubahan kerajaan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang. - BERNAMA
#Jambatan Pulau Pinang #kadar tol turun #penduduk Pulau Pinang
;