Diskaun saman PDRM sehingga 50 peratus di program Madani Rakyat Zon Timur

Bernama
Julai 2, 2024 14:30 MYT
Pembayaran saman hanya boleh dibuat di tapak program bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang. - Gambar fail
KUANTAN: Orang ramai berpeluang menikmati tawaran pengurangan saman terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus di Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur yang akan berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Polis Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan pembayaran saman hanya boleh dibuat di tapak program bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.
"Inilah masanya untuk anda melunaskan tunggakan saman bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen," menurut hantaran itu.
Majlis perasmian Program Madani Rakyat Zon Timur akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai dengan dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.
Selain usaha kerajaan membawa perkhidmatan terus kepada rakyat, program ini juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia Madani.
-- BERNAMA
#Program MADANI Rakyat #Zon Timur #diskaun saman PDRM #lokasi
;