Diskaun 70 peratus saman JPJ bermula esok

Bernama
April 12, 2021 14:29 MYT
Pembayaran saman dengan diskaun yang ditetapkan itu boleh dibuat di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan serta secara dalam talian melalui portal rasmi jabatan.
PUTRAJAYA: Diskaun 70 peratus selama dua bulan ditawarkan untuk semua saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula esok termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tawaran diskaun untuk saman yang boleh dikompaun itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-75 JPJ, melibatkan 3.5 juta saman aktif yang dikenal pasti sejak 2010 hingga Mac tahun ini.
Beliau berkata, pembayaran saman dengan diskaun yang ditetapkan itu boleh dibuat di semua pejabat JPJ serta secara dalam talian melalui portal rasmi jabatan.
"Saya galakkan bayar saman ini secara dalam talian bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di JPJ selain ia kurang memudaratkan," katanya kepada pemberita selepas sambutan Jubli Platinum Ulang Tahun JPJ ke-75 di sini hari ini.
Wee berkata, JPJ juga memperkenalkan sistem menunggu giliran secara dalam talian iaitu JPJeQ hari ini bagi mengelakkan 3C (tempat sesak, sempit dan duduk jarak dekat) di semua premis dan kaunter JPJ.
"Aplikasi secara mobile itu membenarkan pelanggan membuat pilihan cawangan JPJ yang tidak ramai pelanggan serta menggunakan kod QR untuk mendapatkan nombor giliran dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas," kata Wee.
Bersempena ulang tahun itu juga, JPJ melancarkan siri nombor pendaftaran "FD" bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya yang boleh dibida selama lima hari bermula hari ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).
Wee berkata, bidaan nombor pendaftaran itu akan ditutup pukul 10 malam pada Jumaat dan keputusannya diumumkan pada 17 April.
"Siri FD merupakan kesinambungan dari siri "FC" yang menjadi perintis bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian iaitu JPJeBid yang kini telah dilaksanakan di seluruh negara," katanya. - BERNAMA
#diskaun 70 peratus #saman jpj #Jabatan Pengangkutan Jalan #kompaun
;