Diskaun 20 peratus untuk bayaran penuh pinjaman PTPTN

Israr Khalid
Mac 3, 2023 10:45 MYT
Insentif dilaksanakan PTPTN sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2023.
KUALA LUMPUR: Para peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mendapat diskaun bayaran balik pinjaman hingga 20 peratus dalam tempoh tiga bulan bermula 1 Mac (Rabu) hingga 31 Mei 2023.
Pelaksanaan tersebut adalah sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang terbahagi empat kategori iaitu:
1) Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
2) Diskaun 15 peratus bagi bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang;
3) Diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji/Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik; dan
4) Diskaun 5 peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.
Semua peminjam, termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini.
Kenyataan PTPTN itu juga menyebut bahawa peminjam yang ingin membuat bayaran penuh pinjaman atau 50 peratus daripada baki hutang perlu terlebih dahulu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan.
Peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus akan diberikan diskaun 15 peratus secara automatik.
Peminjam boleh memuat turun aplikasi myPTPTN melalui “App Store” bagi pengguna iOS, “Play Store” bagi pengguna Android dan “Huawei AppGallery” bagi pengguna Huawei. Peminjam juga boleh mengakses portal myPTPTN dengan melayari myptptn.ptptn.gov.my.
Sementara itu, para peminjam yang mempunyai pendapatan bulanan RM1,800 (gaji kasar) dan ke bawah layak untuk memohon penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan mulai 1 Mac 2023 melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.
Bagaimanapun, mereka yang menyertai Program Pengurusan Hutang (Debt Management Programme) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN tidak layak untuk membuat permohonan tersebut.
Apa yang perlu dilakukan adalah para peminjam yang layak dan ingin berbuat demikian perlu melengkapkan maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan, memuat naik dokumen pendapatan bulanan terkini dan membuat perakuan kebenaran terhadap maklumat yang diberikan.
Status kelulusan akan dimaklumkan melalui e-mel yang dikemas kini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima oleh pihak PTPTN, dan peminjam yang diluluskan penangguhan pembayaran akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuat kuasa. Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak akan dikenakan sepanjang tempoh penangguhan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
Careline PTPTN di 03 - 2193 3000 (Beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang)
Live Chat di www.ptptn.gov.my
e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my
Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn
Media Sosial Rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
#PTPTN #diskaun 20 peratus PTPTN #Belanjawan 2023 #Wang Pendahuluan Pinjaman
;