Diskaun 20 peratus bil elektrik untuk taska di Semenanjung Malaysia
Bernama
September 26, 2019 19:44 MYT
September 26, 2019 19:44 MYT
Sebanyak 3,398 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Semenanjung Malaysia akan menerima diskaun 20 peratus bil elektrik mulai November in hingga Disember tahun depan.
Timbalan Menteri Permbangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh, berkata, inisiatif tersebut adalah hasil konsultansi dan advokasi kementeriannya dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau berkata inisiatif tersebut bertujuan membantu pengusaha atau pemilik mengurangkan kos pengoperasian taska serta meningkatkan program pendaftaran taska dengan JKM bagi tujuan pemantauan dan keselamatan kanak-kanak.
Menurutnya, terdapat 4,744 taska yang berdaftar dengan JKM sehingga Ogos tahun ini dan daripada jumlah itu, 3,398 taska adalah di Semenanjung Malaysia.
"Kami menganggarkan sebanyak 374 taska baru akan berdaftar dengan JKM pada tahun hadapan," katanya pada sidang media sempena Program Galakan Pendaftaran Taska dengan JKM, yang turut dihadiri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, di sini, pada Khamis.
Yeoh berkata kerajaan juga sedang meneliti untuk mengadakan perbincangan dengan Sarawak Energy Bhd (SEB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) agar inisiatif pemberian diskaun sedemikian turut dinikmati pengusaha dan pemilik taska di Sarawak dan Sabah.
Sementara itu, Yeo berkata pemberian diskaun 20 peratus bil elektrik itu adalah hasil penjimatan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang dilaksanakan oleh TNB di Semenanjung Malaysia.
Ditanya adakah inisiatif itu akan diteruskan selepas 31 Dis 2020, Yeo berkata: "Kami akan melihat selepas itu. Kita perlu galakkan pendaftaran (taska dengan JKM), kalau tidak letak tempoh masa maka akan melengah-lengah lagi. Jadi daftar secepat mungkin untuk nikmati rebet ini.
-- BERNAMA
#bil elektrik
#diskaun bil elektrik
#Hannah Yeoh
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#KPWKM
#pengurangan kos
#taska
#Tenaga Nasional
#TNB