Disiplin ketika kempen jadi teras kejayaan SOP pilihan raya - ERC
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 28, 2020 17:10 MYT
Oktober 28, 2020 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: Disiplin setiap lapisan masyarakat menjadi teras kepada kejayaan sesebuah perjalanan pilihan raya terutama ketika berdepan pandemik COVID-19.
Ketua Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Amerul Muner Mohammad berkata, disiplin menjadi teras kepada rakyat Korea Selatan dan New Zealand yang berjaya melaksanakan pilihan raya ketika pandemik ini.
"Rakyat Korea Selatan itu sendiri memainkan peranan utama lebih daripada badan pengurusannya sendiri.
"Garis panduan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa di Korea Selatan dipatuhi secara terperinci oleh setiap pengundi dan rakyat di Korea Selatan... begitu juga di New Zealand.
"Bagi saya, disiplin rakyat itu lebih penting daripada peraturan itu sendiri," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Mengakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan yang terbaik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, namun Amerul akui masih terdapat beberapa peraturan yang di luar bidang kuasa SPR.
"SPR hanya mampu menguatkuasakan peraturan-peraturan dalam bidang kuasa SPR sahaja. Misalnya, apa yang berlaku di dalam pusat penamaan calon atau kiraan undi, itu adalah dalam bidang kuasa dan kawalan SPR.
"Namun, dalam proses kempen misalnya, ia adalah di luar penguatkuasaan SPR. Jadi untuk kuatkuasakan perhimpunan di luar kawasan sebagainya adalah tanggungjawab badan lain," katanya.
Sebelum ini beberapa pihak menyuarakan pandangan berkenaan proses perjalanan pilihan raya termasuk di Batu Sapi dan akan datang di Sarawak.
Ia berkait perjalanan pilihan raya yang selamat pada masa sama mengukuhkan proses demokrasi tersebut.
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#New Zealand
#Korea Selatan
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#undang-undang
#COVID-19
#pandemik
#SOP
#garis panduan pilihan raya
#syor pilihan raya