Diserbu pegawai agama, Sanjeevan anggap taktik kotor jatuhkan reputasi

Hakim Rahman
Jun 11, 2016 18:19 MYT
SANJEEVAN: "Selepas ini tidak mustahil saya difitnah meliwat pula"
Pengerusi NGO anti jenayah MyWatch, Datuk R. Sri Sanjeevan Ramakrishnan percaya beliau menjadi sasaran pihak tertentu yang mahu menjatuhkan reputasinya dengan menggunakan taktik kotor.
Sanjeevan merujuk kepada kejadian pada Jumaat dimana dia dan seorang anggota polis wanita berpangkat Inspektor diserbu di sebuah hotel mewah di Seremban oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
"Di Malaysia ini cara paling ampuh untuk menjatuhkan reputasi dan nama baik seseorang adalah dengan menuduhnya korup, terlibat jenayah, atau salah laku seksual.
"Selepas ini tidak mustahil saya difitnah meliwat pula," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat kerana mereka berada di bilik bersambung dan lengkap berpakaian.
Sementara itu, memetik laporan portal The Star, pegawai polis wanita itu mengakui dia berada di hotel berkenaan bagi menemui Sanjeevan.
Tambah Sanjeevan lagi, beliau akan terus menbongkar jenayah dan kegiatan rasuah dalam negara dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai kebenarannya.
Pada Khamis, Sanjevan menyatakan dia akan mempertahankan tindakannya selepas khabar angin menyatakan dia akan ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Spekulasi itu muncul selepas pendedahannya mengenai pusat perjudian haram dan spa yang menawarkan khidmat seks berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
#khalwat #MyWatch #Sri Sanjeevan Ramakrishnan
;