Diserang beruk, pengawal keselamatan terima lima jahitan

Sharom Abu Bakar
Februari 3, 2019 09:04 MYT
Mangsa berjaya melepaskan diri dari beruk tersebut selepas memukulnya dengan batang besi. - Astro AWANI/Sharom Abu Bakar
Seorang pengawal keselamatan cedera diserang seekor beruk jantan di Kampung Durian Mentangau, Dungun, Terengganu.
Norhisham Mohamed Nor, 40 tahun, cedera di bahagian kaki akibat digigit oleh haiwan itu dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam Sabtu.
Menurut Norhisham, dia dihampiri beruk seberat kira-kira 20 kilogram itu ketika berehat di luar pondok pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau.
"Saya sedang meneliti telefon tiba-tiba saya terasa ada sesuatu di sebelah saya. Saya ingatkan kucing, rupa-rupanya beruk.
"Saya terkejut lalu saya bangun dari tempat duduk dan terus beruk itu memegang kaki saya sebelum menggigit kepala saya," katanya.
Mangsa berjaya melepaskan diri dari beruk tersebut selepas memukulnya dengan batang besi yang ditemui di kawasan kejadian.
Isteri mangsa, Norhayati Ali memberitahu dia menerima panggilan dari suaminya kira-kira pukul 8.45 malam.
Dia bergegas membawa suaminya itu ke unit kecemasan Hospital Dungun di mana mangsa menerima lima jahitan di kepada.
Haiwan itu dilaporkan telah ditembak mati oleh penduduk kira-kira pukul 9 malam Sabtu.
#beruk #cedera #Dungun #gigit #jahit #Kampung Durian Mentangau #Norhisham Mohamed Nor #pengawal keselamatam
;