Disenarai hitam serta-merta jika sekongkol manipulasi harga gula - KPDN
Bernama
Jun 13, 2023 21:12 MYT
Jun 13, 2023 21:12 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan disenarai hitam serta-merta akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuk syarikat, pengilang, pemborong atau peruncit yang didapati bersekongkol memanipulasi harga jualan gula putih bertapis kasar dan halus atau dinamakan 'gula rakyat' yang disubsidi kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan tidak bertolak ansur dengan pihak yang mengambil kesempatan terhadap usaha kerajaan, malah tindakan tegas terus diambil tanpa kompromi demi menjaga kepentingan rakyat.
"Kepada pengilang, pemborang atau peruncit yang 'bermain-main' dan berkomplot dengan harga gula rakyat ini, akan menerima akibat, mereka akan didakwa, disaman dan dibawa ke mahkamah.
"Mereka yang terlibat juga akan disenaraihitamkan serta-merta, menangis air mata darah sekali pun berjumpa saya (minta tidak disenarai hitam)... saya tak berkompromi demi rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung sesi penjelasan mengenai kelulusan yang diberikan kepada syarikat gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bagi mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang dinamakan sebagai gula jernih untuk pasaran runcit.
Selain itu, Salahuddin berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengapungkan semula harga gula namun sekiranya ekonomi sudah pulih kerajaan bersedia untuk meneliti langkah pengapungan harga barang keperluan itu.
Terdahulu ketika menjelaskan perkara itu, Salahuddin berkata MSM dan CSR dibenar untuk mengeluar dan memasarkan gula jenis baharu itu pada harga jualan runcit yang tidak dikawal oleh kerajaan atau pengapungan harga mengikut pasaran.
"Mengambil kira kos pengeluaran industri gula tempatan termasuk tanggungan kerajaan sekiranya melibatkan pemberian subsidi maka kementerian membenarkan pengeluaran gula jernih untuk dijual di pasaran runcit bertujuan untuk memberikan pilihan kepada pengguna," katanya.
Pada sesi itu, lima Ahli Parlimen meminta penjelasan lanjut selain rata-rata menyatakan kebimbangan bahawa langkah penjualan gula jernih akan menyebabkan berlaku lebih banyak kes pencatutan harga dan menyembunyikan bekalan gula.
-- BERNAMA